PRK Mahkota: Penduduk Taman Ilham mahu wakil rakyat selesai masalah banjir

Mohd Izuan menunjukkan tali air di hadapan rumah penduduk di Taman Ilham yang menjadi punca banjir kilat.
Mohd Izuan menunjukkan tali air di hadapan rumah penduduk di Taman Ilham yang menjadi punca banjir kilat.
A
A
A

KLUANG - Banjir kilat bukanlah masalah asing bagi penduduk di Taman Ilham, Kluang yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Taman Ilham berdekatan pusat bandar Kluang menjadi kawasan 'hotspot' banjir kerana hujan lebat selama hampir sejam akan menyebabkan air dari tali air melimpah ke rumah penduduk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kedudukan rumah penduduk di taman terbabit terletak berdekatan dengan tali air utama yang mengalir ke Sungai Mengkibol.

Taman Ilham terletak di dalam DUN Mahkota sering berdepan isu banjir.
Taman Ilham terletak di dalam DUN Mahkota sering berdepan isu banjir.

Wakil penduduk Mohd Izuan Adnan berkata, banjir kilat dipercayai berpunca daripada aliran air dari kawasan Gunung Lambak menyebabkan tali air tidak dapat menampung isi padu air yang tinggi terutama ketika hujan.

Selain itu, ujarnya, sistem aliran di hujung tali air ini yang agak sempit menyebabkan kederasannya tersekat seterusnya melimpah ke kawasan taman perumahan dan menyebabkan banjir.

Katanya, kejadian banjir pasti akan berlaku pada musim tengkujuh iaitu ketika penghujung dan awal tahun.

Penduduk Taman Ilham sering berdepan isu banjir terutama ketika musim hujan.
Penduduk Taman Ilham sering berdepan isu banjir terutama ketika musim hujan.

Artikel Berkaitan:

Akibatnya, penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan di dewan mahupun sekolah.

"Terdapat hampir 400 rumah penduduk di sini. Setiap kali banjir kilat, penduduk terpaksa menanggung kerugian disebabkan kerosakan harta benda.

"Keadaan banjir juga semakin bertambah buruk. Sebelum ini, paras ketinggian air cuma sekitar 0.2 meter tetapi banjir pada bulan Disember tahun lalu, paras air hampir cecah 0.5 meter," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Mohd Izuan, penduduk bimbang setiap kali hujan di kawasan ini menyebabkan urusan harian mereka juga terjejas.

"Sebelum ini ada perancangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah untuk melaksanakan kerja-kerja mendalamkan tali air ini selain memasang tebing.

"Oleh itu, penduduk berharap perancangan itu diteruskan bagi memastikan penduduk di sini tidak lagi berhadapan masalah banjir yang tidak selesai ini.

"Saya harap peruntukan dapat disediakan agar kekerapan banjir di Taman Ilham dapat dikurangkan dan seterusnya menyelesaikan isu banjir," katanya.

Penduduk, Mohamad Rahman 57, pula berkata, banjir yang berlaku menyebabkan kerugian kepada penduduk kerana perkakasan rumah seperti perabot rosak akibat terendam di dalam air.

Mohamad menunjukkan paras air banjir yang pernah berlaku di Taman Ilham, Kluang.
Mohamad menunjukkan paras air banjir yang pernah berlaku di Taman Ilham, Kluang.

Ujarnya, sampai bila penduduk perlu berpindah setiap kali musim hujan.

"Kami harap wakil rakyat dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, kelak dapat meninjau masalah penduduk Taman Ilham yang mahu banjir kilat di sini diselesaikan segera.

"Antara tindakan yang boleh dilakukan adalah dengan membina sebuah kolam di bahagian atas tali air ini agar dapat melambatkan kemasukan aliran air atau membetulkan semula saliran di bahagian bawahnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!