Jaehong yakin KDN FC mampu bangkit semula dengan pemain baharu
PENGENDALI kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Park Jaehong melaungkan keyakinan skuad kendaliannya mampu bangkit dengan kehadiran pemain baharu bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.
Beliau berkata, kehadiran pemain itu dijangka mampu menambah sengat terutama di bahagian jentera serangan yang sebelum ini tumpul.
"Selain itu, saya mempunyai banyak pilihan pemain dan boleh melakukan penggiliran berdasarkan taktikal perlawanan," katanya.
Menurut beliau, KDN FC berharap pemain yang dibawa masuk mampu memberikan aksi terbaik sepanjang saingan liga nanti.
Ujarnya, setakat ini, skuad Sang Kijang Emas telah menandatangani Layth Kharoub, Aung Kaung Mann, Hakimi Abdullah, Muhaimin Izzudin serta Fikri Che Soh.
"Kecuali Fikri, empat pemain lain berkeupayaan bermain di posisi serangan. Ini satu tambahan yang bagus serta boleh memberikan kami lebih pilihan bagi memburu jaringan."
"Sekarang kami perlu melihat ke hadapan kerana kami mahu memperbaiki pasukan.
"Selepas itu, kami berniat untuk masuk semula ke dalam persaingan dan merebut mata pada setiap perlawanan. Kami kena cari mata untuk keluar dari tangga terakhir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!