Peguam terlibat kes jenayah wajar digantung tugas

Peguam yang terlibat dalam kes jenayah perlu digantung khidmatnya bagi memelihara keyakinan masyarakat terhadap profesion guaman. Foto hiasan
Peguam yang terlibat dalam kes jenayah perlu digantung khidmatnya bagi memelihara keyakinan masyarakat terhadap profesion guaman. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mana-mana peguam yang terlibat dengan kes jenayah wajar digantung perkhidmatan bagi memelihara martabat profesion berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Majlis Peguam dicadangkan melaksanakan satu tindakan yang lebih tegas terhadap isu-isu sebegini.

Ramli
Ramli

Beliau berkata, peguam yang terlibat dalam kes jenayah perlu digantung khidmatnya bagi memelihara keyakinan masyarakat terhadap profesion guaman.

"Majlis Peguam Malaysia menerusi surat pada 27 Ogos lalu telah menyatakan komitmen dan kerjasama mereka dalam usaha membanteras kes-kes pecah amanah jenayah oleh peguam.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Majlis Peguam Malaysia sentiasa menerokai kaedah menambah baik cara pengamal profesion perundangan untuk berkhidmat lebih telus dan berintegriti dengan penumpuan kepada pengendalian akaun klien," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, komitmen yang diberikan oleh Majlis Peguam Malaysia untuk memberikan kerjasama sewajarnya bagi mencapai matlamat ini amatlah dihargai.

Sementara itu, Ramli mendedahkan pihaknya telah menerima satu lagi laporan berkaitan kes pecah amanah jenayah oleh peguam melibatkan kerugian sebanyak RM53,000 pada 20 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mangsa merupakan seorang peguam memaklumkan pada sekitar tahun 2022, firma guaman miliknya telah dilantik oleh sebuah syarikat untuk menguruskan urusniaga pembelian dan penjualan hartanah.

"Mangsa kemudiannya mengamanahkan rakan kongsinya (suspek) mengendalikan urusan tersebut sebelum firma guaman mangsa menghantar tuntutan yuran guaman berjumlah RM52,977.00 kepada syarikat berkaitan.

"Bagaimanapun jumlah tersebut tidak dilunaskan atas alasan suspek yang mengendalikan urus niaga terbabit telah memberikan pengecualian yuran guaman," katanya.

Ramli berkata, mangsa menafikan pengetahuannya berkenaan pengecualian tersebut.

"Malahan, suspek juga tidak mempunyai sebarang autoriti untuk memberikan pengecualian yuran guaman bagi perkhidmatan yang diberikan oleh firma guaman mereka.

"Mangsa mengesyaki yuran guaman itu dibayar ke akaun peribadi suspek setelah memperoleh maklumat dari sebuah firma guaman lain (yang merupakan tempat kerja baharu suspek) berkenaan salinan sekeping cek bernilai RM52,977.00 yang dibayar oleh syarikat berkaitan kepada suspek," katanya.

Tambahnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"Berdasarkan semakan, suspek dalam kes ini mempunyai tiga rekod lampau berkait kes penipuan selain suspek didapati masih aktif berkhidmat sebagai seorang peguam.

"Suspek telah dituduh bersabit satu daripada kes tersebut dan perbicaraan masih berjalan, baki dua lagi kes masih dalam siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!