Kemudi bantu bekas pengamal media ceburi perniagaan dalam talian
KOTA BHARU - Lebih 40 bekas pengamal media yang bernaung di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menyertai kursus kedua Program Keusahawanan Kemudi di Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan di sini semalam.
Presiden Kemudi, Azran Fitri Ab Rahim berkata, program itu merupakan inisiatif Kemudi untuk membantu rakan-rakan media yang kehilangan pekerjaan berkecimpung dalam dunia perniagaan.
"Inisiatif tersebut dibuat memandangkan peluang mendapatkan kerja buat masa ini amat sukar.
“Sekiranya ada pun pendapatan tidak banyak dan perlukan pendapatan tambahan. Jadi Kemudi memfokuskan program perniagaan dalam talian kerana peluangnya lebih terbuka," katanya kepada media.
Terdahulu, Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Seri Mustapa Mohamed merasmikan Program Usahawan Kemudi di Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Kelantan, Norlaila Mat Lin; Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kelantan, Kamarul Zaman Mohamad; Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, Hasmaryanti Kamaruzzaman dan Pengerusi Kelab Usahawan Wanita Kelantan (Kuwak), Nor Ariati Salleh.
Menurutnya, Program Keusahawanan Kemudi itu merupakan hasil kerjasama dengan Kuwak, Mara Kelantan dan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri khas untuk membantu pengamal media di negeri ini.
Beliau berkata, sememangnya Kelantan terkenal dengan usahawan wanita dan tidak kurang juga dengan jutawan lelaki, maka tidak salah jika mereka menggunakan peluang yang ada untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
"Kita sediakan kursus yang bersesuaian dengan mereka. Bagaimana untuk berniaga, perniagaan jenis macam mana, peluang pasaran terutamanya dalam talian.
"Kebanyakannya sudah berniaga dalam Facebook tetapi mungkin tidak tahu menggunakan cara yang betul untuk kembangkan perniagaan.
“Jadi inilah yang Kemudi dapat membantu ahli-ahli dengan membuka laluan kepada mereka untuk mencari pendapatan tambahan,” katanya.
Sementara itu, Mustapa ketika menyampaikan ucapan perasmian juga berharap agar pengamal media di negeri ini menggunakan sebaik mungkin peluang yang ada untuk mempelajari ilmu perniagaan bagi meneruskan kehidupan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!