Perancis kekal mahu bereksperimen

Deschamps
Deschamps
A
A
A

PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps menegaskan Les Bleus kekal menggunakan Liga Negara-Negara sebagai pentas menguji pemain baharu biarpun selepas tewas 1-3 kepada Itali di Parc de France, Paris.

Deschamps sebelum itu dikritik hebat selepas Euro Jerman 2024 apabila gagal mempamerkan aksi cemerlang walaupun pasukannya mara ke separuh akhir.

Malah Deschamps menampilkan penampilan sulung penyerang Michael Olise dan turut membawa masuk pemain tengah Manu Kone berdepan pasukan kendalian Luciano Spalletti.

“Ini berkenaan persoalan keseimbangan dan ketidakseimbangan, pasukan masih muda apabila terdapat pemain yang membuat penampilan sulung hari ini.

"Saya juga tahu bahawa apabila tidak meletakkan kesebelasan utama pasukan di padang, saya mengambil beberapa risiko dan merosakkan prestasi keseluruhan,” kata Deschamps.

Sebagai rekod di Euro Jerman 2024, Perancis melepaskan tiga gol dalam enam perlawanan, namun bolos tiga gol kepada Itali setelah Deschamps meninggalkan Jules Kounde dan Dayot Upamecano di bangku simpanan dengan Ibrahima Konate dan Jonathan Clauss dalam kesebelasan utama.

"Pertahanan sudah berubah, saya sudah berkata begitu. Masanya sudah tiba untuk memberi masa bermain kepada seramai mungkin pemain dan malam ini kami membayar harga yang mahal berdepan lawan peringkat tinggi.

"Perlawanan seterusnya, visi pasukan tentang sesuatu tidak akan berubah, sudah tiba masanya untuk pasukan melakukannya," kata pengurus itu.

Artikel Berkaitan:

Perancis bermula sempurna apabila Bradley Barcola meletakkan tuan rumah di hadapan selepas 12 saat, namun gagal menangani taktik Itali apabila membenarkan lawan kembali menerusi Federico Dimarco (minit ke-30), Davide Frattesi (m-30) dan pemain gantian Giacomo Raspadori (m-74).

“Kami mempunyai permulaan yang baik selepas gol pendahuluan, serta-merta memberikan tekanan kepada lawan, tetapi keadaan kemudian menjadi lebih rumit.

“Apabila pasukan bolos gol pasti berlaku kesilapan, tetapi perlawanan malam ini dari sudut kami sudah pun kekurangan pada bahagian kedua separuh masa pertama.

"Pada separuh masa kedua kami berusaha kembali semula, tetapi Itali menjaringkan dengan permainan serang balas,” kata Deschamps.

Sementara itu, Deschamps menegaskan mempunyai masa terhad memperbaiki keadaan pasukan menerima kunjungan Belgium pada Selasa.

"Kekalahan ini menyakitkan semua orang malam ini. Saya sentiasa melihat fakta, tanpa mengira keadaan.

"Tahniah kepada Itali, mereka melakukan apa yang perlu dilakukan untuk menang.

"Kami pula gagal dan kini perlu bersedia untuk Belgium," kata Deschamps.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!