Terjun kolam elak dicekup
JOHOR BAHRU – Seorang warga asing nekad terjun ke dalam kolam bagi mengelakkan dirinya dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam serbuan Ops Kutip di sebuah tapak pembinaan di Kempas pada Jumaat.
Bagaimanapun, tindakannya itu tetap memakan diri apabila dia berjaya ditahan bersama warga asing lain di Depot Tahanan Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Namun difahamkan, terdapat beberapa warga asing dari tapak pembinaan sama melarikan diri dengan merentasi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran tapak pembinaan berkenaan.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, warga asing berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan ketika ditahan.
“Dalam serbuan hari ini (Jumaat), ada satu kes PATI (pendatang asing tanpa izin) melarikan diri apabila dikejar oleh anggota imigresen dengan terjun ke dalam satu kolam takungan.
“Bila sudah ketakutan, mereka ini akan cuba pelbagai cara untuk melarikan diri.
“Ada juga warga asing yang lari melepasi lebuh raya,” katanya.
Mohd Rusdi berkata demikian pada sidang akhbar sempena Ops Kutip JIM Negeri Johor di satu tapak pembinaan di Kempas pada Jumaat.
Dalam operasi itu, seramai 311 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa, 139 daripadanya melibatkan 18 perempuan dan 26 lelaki warga Indonesia, Pakistan (enam lelaki), Myanmar (sembilan lelaki) dan 79 lelaki warga Bangladesh.(18 perempuan, 26 lelaki) ditahan atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan yang dilakukan melibatkan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas ditetapkan.
Terdahulu, Mohd Rusdi berkata, dalam Ops Mahir di kawasan Perindustrian Tampoi pada sebelah pagi, seramai 353 warga asing dan warga tempatan diperiksa, 198 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, mereka yang ditahan melibatkan 12 lelaki dan sembilan perempuan warga China, Bangladesh (163 lelaki), Pakistan (10 lelaki) dan satu lelaki serta tiga perempuan (warga Sri Lanka).
“Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); Peraturan 11(7)(a), Peraturan 17(b) dan Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Hasil kedua-dua operasi tersebut seramai 336 warga asing ditahan melibatkan 44 warga Indonesia (26 lelaki, 18 perempuan), China (12 lelaki, sembilan perempuan), Bangladesh (242 lelaki), Pakistan (16 lelaki), Sri Lanka (satu lelaki, tiga perempuan) dan Myanmar (sembilan lelaki).
Kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, selain Johor Bahru, operasi sama turut dilaksanakan serentak di empat daerah lain melibatkan Muar, Mersing, Segamat dan Batu Pahat.
Sementara itu Mohd turut menasihatkan pihak majikan memastikan pekerja warga asing yang digajikan memiliki permit yang sah untuk bekerja di Malaysia.
“Kita nasihatkanlah untuk majikan pastikan kesemua pekerja asing ni ada dokumen dan permit kerana tindakan kita bukan hanya kepada pekerja tetapi juga kepada majikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!