Polis mohon maklumat individu guna papan luncur di jalan raya
BALIK PULAU - Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tindakan seorang individu menggunakan papan luncur di Jalan Tun Sardon di sini untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Polis Barat Daya di talian 04-8664122 atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Noor Amera Mohd Nawi di talian 013-3312026.
"Polis memandang serius isu ini kerana tindakan individu tersebut membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Kaedah-kaedah Kawalan Lalulintas Jalan Raya (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti) 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kamarul menambah, pada jam 9.40 malam Jumaat, polis mengesan satu klip video berdurasi 47 saat memaparkan aksi seorang individu menggunakan papan luncur di jalan raya yang berbukit.
Klip video itu dimuat naik oleh pemilik Facebook yang menggunakan nama @Arief Why Pocong Pocong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!