Pengasuh taska disyaki bunuh bayi direman seminggu

Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan selepas disyaki mengakibatkan seorang bayi lelaki maut di sebuah Taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah.
Suspek direman seminggu bagi membantu siasatan selepas disyaki mengakibatkan seorang bayi lelaki maut di sebuah Taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah.
A
A
A

MELAKA - Pengasuh wanita direman selama seminggu selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama di sini pada Sabtu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd Sobri di sini bermula Sabtu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, permohonan reman itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu suspek tiba di mahkamah dengan diiringi pegawai polis kira-kira jam 9.30 pagi.

Suspek yang juga ibu kepada tiga anak berusia dua, enam dan lapan tahun itu ditahan pasukan Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira jam 3.30 petang semalam di taska terbabit.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang bayi, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri berusia lapan bulan dipercayai meninggal dunia di taska itu.

Difahamkan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Bapa kepada kanak-kanak itu, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, turut meluahkan rasa terkilan dan sedih kerana mangsa didakwa dibedung, disumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal oleh suspek.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

Jenazah bayi itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak setelah selesai proses bedah siasat pada malam Jumaat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!