LTAT perkasa perlindungan sosial anggota ATM

Mohamed Khaled (tengah) meluncurkan Laporan Pencarum LTAT 2023
Mohamed Khaled (tengah) meluncurkan Laporan Pencarum LTAT 2023
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan terus melindungi kesejahteraan sosio-ekonomi dan perlindungan sosial anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga selepas perkhidmatan mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Minggu Bersama Pencarum (MBP) yang dianjurkan misalnya, adalah sebahagian daripada usaha dalam memastikan peningkatan kefahaman anggota ATM terhadap kesejahteraan dan perlindungan sosio-ekonomi semasa perkhidmatan dan selepas persaraan.

Disebabkan itu katanya, program tersebut yang memasuki tahun kedua, dinaik taraf bagi memastikan keberkesanannya.

Sesi Bicara Menteri Pertahanan turut diadakan.
Sesi Bicara Menteri Pertahanan turut diadakan.

“Kali ini, kita menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan platform bual bicara yang memberi penekanan kepada faedah-faedah yang disediakan oleh LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera) kepada pencarum.

“Selain itu, kita memberi pendedahan berhubung pengurusan kewangan yang mampan dan peluncuran Laporan Pencarum LTAT 2023, iaitu sebuah inisiatif terbaru LTAT yang bertujuan untuk memberi kefahaman mendalam berhubung peranan LTAT terhadap warga ATM serta pembangunan ekonomi negara.

“Pengorbanan dan dedikasi anggota ATM adalah asas pertahanan negara. Saya juga akan terus mendukung usaha LTAT dalam memastikan simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang dengan mampan demi kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin,” katanya ketika merasmikan MBP: Jelajah Selatan 2024 anjuran LTAT di Kluang, Johor pada Jumaat.

Program itu turut disertai Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan selaku wakil rasmi Panglima Angkatan Tentera.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled (kanan) meninjau reruai pada program berkenaan.
Mohamed Khaled (kanan) meninjau reruai pada program berkenaan.

Program tiga hari yang berlangsung dari 2 hingga 6 September itu menerima penyertaan 3,500 pengunjung dalam kalangan anggota ATM tiga kem tentera di selatan Malaysia.

Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi pula merakamkan penghargaan kepada anggota ATM dan pencarum yang merupakan pemegang taruh utama LTAT.

“Penghargaan khusus kami sampaikan kepada Tentera Darat Malaysia yang berganding bahu bersama LTAT dalam menjayakan program ini.

“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang selaras dengan usaha kami untuk memberikan perkhidmatan dan pulangan yang terbaik. LTAT kekal komited dalam menjalankan amanah ini, demi wira kami,” katanya.

Pada majlis itu juga, Laporan Pencarum LTAT 2023 iaitu sebuah laporan komprehensif yang julung kali diterbitkan bertujuan untuk membantu anggota ATM memahami dengan lebih baik peranan dan tanggungjawab LTAT diluncurkan.

Selain itu, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) menyampaikan sumbangan chromebook yang ditaja oleh BHPetrol kepada anak-anak warga ATM yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Program ini merupakan kerjasama antara YLTAT dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, melibatkan 969 anak-anak warga ATM calon SPM 2024 yang bersekolah di luar kem seluruh negara untuk mengikuti program rintis tuisyen dalam talian, e-Perkasa SPM dengan menggunakan chromebook tersebut.

Selain itu, sumbangan kebajikan turut dipanjangkan kepada anggota ATM dan keluarga mereka yang menghidap penyakit kronik dan OKU.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!