SUKIPT 2024: UUM sasar 15 emas
UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) meletakkan harapan yang tinggi kepada semua atletnya untuk bersaing di pentas Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024 dengan menyasarkan sebanyak 15 pingat emas.
Naib Canselor UUM, Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, selaku tuan rumah, universiti tersebut menghantar kontinjen besar dengan kekuatan seramai 317 atlet terdiri daripada 186 atlet lelaki dan 131 atlet wanita.
Menurutnya, dengan penyertaan menyeluruh daripada 76 kontinjen dari seluruh negara, ia bakal memberikan persaingan sihat pada temasya yang membuka tirai pada Jumaat sehingga 14 September ini.
“Pada tahun ini, oleh kerana penyertaan menyeluruh, kita harap tidak ada universiti yang memonopoli dan ini secara tidak langsung meletakkan harapan untuk kita meletakkan sasaran.
“Kalau berdasarkan pada rekod lama, 15 pingat emas (yang disasarkan jika berjaya dicapai) secara tidak langsung boleh meletakkan kita di antara kontinjen kelompok atas dalam kutipan pingat emas,” katanya semasa ditemui media.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Perkampungan SUKIPT 2024 di Dewan Inasis Petronas, UUM yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Foad berkata, UUM telah meningkatkan kemudahan dari segi penginapan dan juga padang agar dapat memberikan keselesaan kepada semua atlet untuk memberikan yang terbaik dalam acara sukan masing-masing.
“Kami telah melakukan persiapan agak lama iaitu sejak Februari lalu dan dalam tempoh tujuh bulan tersebut kita harap atlet yang datang rasa selesa serta bermotivasi dengan suasana di sini,” ujarnya.
Tambahnya, seramai 700 sukarelawan pelajar yang ditapis daripada lebih 3,000 permohonan dari seluruh negara juga telah bersiap sedia untuk membantu sepanjang kejohanan ini berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!