Agong zahir sukacita prestasi ekonomi, perdagangan negara bertambah baik
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan perasaan sukacita dengan keadaan ekonomi dan prestasi perdagangan negara yang bertambah baik dan menunjukkan peningkatan.
Seri Paduka Baginda berharap agar kerajaan terus berusaha merancakkan ekonomi negara bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
"Semua pemimpin dan anggota pentadbiran kerajaan hendaklah pikul amanah dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara. Elakkan amalan rasuah dan salah guna kuasa,
"Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia akan terus mengekalkan perpaduan, hidup harmoni dan bersatu padu serta berpegang teguh kepada Rukun Negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Turut berangkat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan penghargaan atas ucapan tahniah dan iringan doa daripada seluruh rakyat jelata sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
"Doa seluruh rakyat jelata sentiasa mengiring setiap langkah saya menjalankan tugas dan amanah sebagai Ketua Negara. Marilah berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Malaysia terus dikurniakan rahmat, keberkatan dan kekal aman, makmur dan sejahtera,” titah Seri Paduka Baginda.
Turut hadir pada istiadat itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri kabinet.
Terdahulu Anwar ketika merafak sembah ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong pada istiadat itu berkata kerajaan akan terus menggiatkan usaha memastikan negara terus stabil, di samping mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 dengan dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!