Tiada parti boleh label DUN Mahkota kubu kuat mereka - Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KOTA BHARU - Setiausaha Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan tiada mana-mana parti politik yang boleh melabelkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor sebagai kubu kuat mereka pada pilihan raya kecil (PRK) nanti.

Beliau berkata, beberapa keputusan PRK sebelum ini memperlihatkan banyak kejutan di luar jangka berlaku.

"Dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku walaupun di atas kertas ia dilihat berpihak kepada kumpulan tertentu.

"Tetapi citarasa, pendirian rakyat yang menjadi pengundi tiada siapa boleh meneka. Sebarang kemungkinan boleh berlaku pada PRK nanti," katanya semasa sidang akhbar ketika ditemui pada Program Kota Bharu Kahf Marathon di Dewan Jubli Perak di sini pada Sabtu.

Takiyuddin (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Program Kota Bharu Kahf Marathon di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu pada Sabtu.
Takiyuddin (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Program Kota Bharu Kahf Marathon di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu pada Sabtu.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Artikel Berkaitan:

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Mahkota adalah sebanyak 66,318 orang dengan 61,397 daripadanya adalah pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daripada sejumlah 66,318 pengundi di DUN Mahkota, 52 peratus daripadanya adalah pengundi muda yang berusia 39 dan ke bawah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!