Pesara guru rugi lebih RM300,000 diperdaya pegawai TNB, polis palsu

Seorang pesara guru kerugian RM311,810 selepas menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis. Gambar hiasan. Gambar kecil: Yahaya
Seorang pesara guru kerugian RM311,810 selepas menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis. Gambar hiasan. Gambar kecil: Yahaya
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara guru kerugian RM311,810 selepas menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penipuan itu bermula apabila wanita berusia 69 tahun berkenaan menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa sebagai pegawai TNB.

Menurutnya, suspek memaklumkan terdapat tunggakan bil atas nama mangsa dan panggilan telefon kemudian disambungkan kepada individu yang kononnya pegawai polis.

"Mangsa diberitahu terdapat waran tangkap terhadap mangsa kerana terbabit dengan pengubahan wang haram.

"Suspek mengarahkan mangsa membuat pemindahan semua wang simpanan ke dalam sebuah akaun bank miliknya," katanya pada Sabtu.

Yahaya berkata, berdasarkan laporan, suspek juga mengarahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) milik mangsa berserta nombor pin diletakkan di lokasi yang diberi.

"Pada 28 Ogos lalu, mangsa diarah untuk meletakkan semua barang kemas yang dianggarkan bernilai RM50,000 di dalam peti surat rumahnya sebelum diambil individu tidak dikenali yang menaiki sebuah kenderaan tidak dikenal pasti.

"Mangsa mula menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaun bank miliknya berjumlah RM261,810 dipindahkan kepada akaun bank lain melalui mesin ATM tanpa pengetahuannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan.

Tegasnya, ini bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan secara dalam talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih, terutama dengan perkembangan teknologi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!