Polis siasat syarikat eksploitasi kanak-kanak

Polis memaklumkan setakat ini di Selangor terdapat empat laporan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan organisasi itu. Gambar hiasan
Polis memaklumkan setakat ini di Selangor terdapat empat laporan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan organisasi itu. Gambar hiasan
A
A
A

BANGI - [DIKEMAS KINI] Sebuah syarikat yang disiasat polis berhubung dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak antara lapan kumpulan yang dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini di Selangor terdapat empat laporan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan syarikat itu.

Menurutnya, laporan itu dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk pungut dana, derma dan sebagainya.

"Di Selangor ada empat laporan dan kita sedang dapatkan juga statistik di seluruh negara.

"Berdasarkan maklumat awal, organisasi ini menggunakan eksploitasi, tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain menubuhkan banyak rumah amal untuk kutip derma dan dipercayai akan mengambil tindakan terhadap ahlinya yang melakukan kesalahan kecil," katanya dalam sidang akhbar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada Sabtu.

Ayob Khan sebelum itu hadir menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Siswa Siswi Universiti Awam ke-20.

Mengulas lanjut, kata Ayob, kumpulan ini juga dipercayai merangkumi semua golongan termasuk profesional.

"Pengaruh mereka ini tersebar luas," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri telah menyenaraikan 154 ajaran sesat yang dipantau.

Tambah Ayob, di pihak Cawangan Khas PDRM, direkodkan terdapat 114 kumpulan dan daripada itu 14 dikesan aktif.

"Keseluruhannya sejak 2022 hingga Ogos lalu, ada 80 laporan polis dibuat berhubung aktiviti ajaran sesat selain tangkapan 122 orang.

"Ini satu proses yang berterusan dan pemantauan terus dijalankan dengan kerjasama jabatan agama Islam selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung posting yang dibuat," ujarnya.

Selain itu, Ayob Khan memberitahu, taktik merekrut juga dikesan telah berubah mengikut peredaran semasa iaitu menggunakan medium media sosial.

"Sudah tentulah jika format dulu lain dalam keadaan merekrut militan, sekarang lain, mereka guna media sosial dan kita fokus perkara itu dengan kerjasama SKMM," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!