Aktiviti manusia punca tanah jerlus di Jalan Masjid India

Keadaan lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Ahad. Foto Bernama
Keadaan lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil siasatan pelbagai agensi mendapati faktor antropogenik iaitu aktiviti manusia merupakan antara tiga punca berlakunya tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang mengorbankan seorang wanita warga India baru-baru ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, dua faktor lain ialah cuaca dan hakisan tanah tambak di bawah permukaan kawasan berkenaan.

Dapatan itu sekali gus menolak dakwaan kawasan Kuala Lumpur tidak selamat untuk diduduki susulan seperti teori yang dibuat beberapa pihak.

"Secara am, NRES menegaskan bahawa Kuala Lumpur adalah selamat untuk dihuni. Walau bagaimanapun, pemantapan terhadap aspek pemantauan, penyelenggaraan, prosedur dan kaedah penyiasatan bawah permukaan meliputi struktur binaan bawah tanah dapat mengenal pasti dan mengelak sebarang ancaman tanah jerlus dan lubang benam yang mungkin berlaku.

"NRES melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga sedang menambah baik data bawah permukaan kawasan Lembah Klang yang meliputi 10 buah Pihak Berkuasa Tempatan melalui Projek Pemetaan Geologi Sub-permukaan Greater KL bagi melengkapkan lagi maklumat sedia ada bawah permukaan Kuala Lumpur yang telah dijalankan di bawah projek 3DKL.

"NRES menasihatkan orang awam agar tidak mempercayai sebarang spekulasi yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai keadaan keselamatan bawah permukaan Kuala Lumpur serta perlu mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berautoriti dalam sebarang kejadian bencana geologi," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India dikenali sebagai G Vijaya Lakhsmi, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India.

Sementara itu, NRES dalam masa sama turut memaklumkan satu laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan akan disediakan oleh Pasukan Petugas Struktur Tanah Masjid India yang diterajui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam jangka masa tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

Menurut kementerian tersebut, siasatan JMG turut menggunakan peralatan Ground Penetration Radar (GPR) bagi mendapatkan gambaran strata geologi dan sistem utiliti bawah permukaan kawasan kejadian bagi tujuan proses pemulihan menyeluruh oleh pihak bertanggungjawab.

"Dari segi geologi, batuan dasar di Kuala Lumpur didasari oleh sejumlah anggaran 30 peratus batu kapur dan 70 peratus terdiri daripada batuan granit dan batuan metasedimen iaitu Formasi Kenny Hill, Syis Hawthornden dan Syis Dinding, manakala kawasan tanah jerlus adalah didasari oleh batuan syis, filit dan kuarzit Formasi Kenny Hill," kata kenyataan itu.

NRES dalam masa sama juga menegaskan sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya ancaman bencana geologi, orang awam boleh menghubungi JMG atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat laporan serta mendapatkan bantuan.

"JMG akan sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman bencana geologi," kata kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!