PRK DUN Mahkota: DAP beri komitmen penuh menangkan calon BN
KLUANG - DAP Johor mengulangi komitmen sepenuhnya untuk berkempen bagi memenangkan siapa juga calon dari Barisan Nasional (BN) yang akan diputuskan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, seluruh kekuatan jentera parti akan digerakkan ke Kluang untuk berkempen dan mendekati pengundi.
"Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP minggu lalu, arahan jelas diberikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya DAP menggerakkan seluruh kekuatan jentera parti di Kluang.
"DAP menyusun gerak kerja awal sejak lebih seminggu lalu khususnya dalam memperkemas organisasi jentera, mengenal pasti data dan angka, mewujudkan libat urus dengan pelbagai entiti dan komuniti, serta mempersiapkan asas logistik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Sheikh Umar, banyak faktor perlu diteliti untuk memenangi PRK DUN Mahkota.
"Antaranya, peratusan jumlah keluar mengundi sentiasa menjadi cabaran setiap kali berhadapan PRK. Justeru, strategi untuk membawa pulang pengundi luar akan diberikan tumpuan khusus.
"Kami yakin jalinan kerjasama yang utuh antara PH dan BN akan menjadi formula kemenangan untuk calon UMNO, DUN Mahkota," katanya.
Sebelum itu, beliau menghadiri majlis pelancaran jentera Parti Amanah Negara (Amanah) di Kluang yang turut dihadiri Ketua Bahagian UMNO Kluang, Datuk Md Jais Sarday.
Jelasnya, pelancaran jentera Amanah membabitkan PRK DUN Mahkota telah dianjur di Lamanara Taman Idaman, Kluang dan disempurnakan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
"Dalam majlis itu, wakil-wakil pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor hadir memberikan sokongan kepada BN Johor.
"Ketika ucapan, Md Jais memanggil dua nama ke atas pentas selaku individu yang disenarai pendek oleh UMNO Bahagian Kluang untuk dipilih oleh pimpinan Pusat sebagai calon PRK DUN Mahkota
"Mereka ialah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah," ujarnya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengumumkan calon BN PRK DUN Mahkota di Command Centre BN Kluang, kira-kira jam 4 petang, Sabtu
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!