PKR Sabah nafi dakwaan 'tunggang' isu MA63
KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa parti itu 'menunggang' isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebaliknya, Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin menegaskan, isu MA63 antara perkara yang menjadi perjuangan parti itu sejak di awal penubuhannya dengan termaktubnya dalam Perlembagaan parti.
"Ini memang termaktub dalam Perlembagaan, untuk makluman PKR adalah parti terawal dan mungkin satu-satunya parti politik yang mana dalam Perlembagaan menyebut mengenai memperjuangkan dan melaksanakan apa yang termaktub dalam MA63 iaitu kalau boleh rujuk Perlembagaan parti pada Fasal 5.8.
"Kita memang sudah tercatat di sana jadi bagi yang mengatakan kita ingin tunggang, baru menunggang isu MA63 itu adalah tidak benar sebab sejak Perlembagaan kita dibuat pun ini adalah yang kita perjuangkan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerajaan yang paling pantas menyelesaikan isu MA63.
"Kalau kita ikut daripada kerajaan terdahulu, saya rasa kerajaan kali ini adalah antara yang paling pantas menyelesaikan beberapa isu cuma kita akui ada beberapa isu utama tertindih yang menjadi sebutan isu tuntutan 40 peratus dan sebagainya.
"Tetapi isu 40 peratus ini beliau sudah jelaskan, kita tidak pun kata kita tidak akan bagi atau menolak. Kita tetap laksanakan cuma kita sedang melihat apa yang terbaik untuk Sabah," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat berkata, selaras dengan perjuangan tersebut satu Sidang Meja Bulat Keadilan Borneo akan diadakan pada 15 September melibatkan PKR Sabah dan Sarawak untuk duduk semeja bersama dan membincangkan isu MA63 dan juga dengan kerajaan Madani.
"Sidang meja bulat ini membawa tema Semangat MA63 Dalam Membangun Malaysia Madani. Antara yang akan berucap nanti termasuklah Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi PKR Sarawak, Roland Engan.
"Kita fokus kepada golongan profesional juga termasuk bekas hakim yang lebih memahami tentang MA63," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai kehadiran Perdana Menteri pada sambutan Hari Malaysia nanti, Razeef menjangkakan akan ada berita baik untuk rakyat di negeri ini.
"Saya yakin akan ada beberapa berita baik daripada hasil perbincangan (Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63) tetapi saya pun tidak boleh bercerita lebih sebab kita tunggu hasil mesyuarat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!