Pelancongan domestik negara meningkat 19 peratus
BACHOK - Pelancongan domestik negara meningkat 19 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof, berkata, jumlah pelancong domestik direkodkan seramai 58.61 juta dalam tempoh itu tahun ini ketimbang 49.26 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan ketara sebanyak 19 peratus itu turut disusuli dengan peningkatan jumlah perbelanjaan pelancong domestik sebanyak 25.3 peratus.
“Bagi suku pertama tahun ini perbelanjaan pelancongan domestik dicatatkan berjumlah RM24.1 bilion berbanding RM19.21 bilion suku pertama tahun lepas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Temasya Orang Kampung 3.0 (Tok 3.0), di Kampung Telong, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf (Karangkraf), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Kelantan, Zameri Mat Nawang.
Menurut Musa, negeri yang menerima pelancong domestik tertinggi ialah Selangor diikuti Pahang seterusnya Melaka dan negeri-negeri lain.
Kata beliau, pelancongan bukan lagi berkait dengan kemewahan tetapi sudah menjadi satu keperluan kepada individu bagi melepaskan tekanan dan beriadah bersama keluarga.
“Antara faktor jumlah pelancong domestik meningkat ialah kerana kelapangan cuti selain rakyat mahukan ketenangan atau ‘healing’.
“Cuma, perbelanjaan mereka akan menjadi lebih tinggi kerana pilihan bercuti semasa waktu puncak seperti perayaan Tahun Baharu Cina atau Aidilfitri,” katanya.
Justeru, pihaknya menyarankan supaya orang ramai merancang untuk melancong bukan pada waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan selain dapat meraih tawaran harga tiket lebih murah seperti tiket penerbangan dan kos penginapan termasuk hotel.
Dalam pada itu, Musa berkata, di samping tarikan pantai dan pulau, penganjuran festival rakyat seperti Tok turut menjadi penyumbang peningkatan jumlah pelancong dari negeri ke negeri.
“Selain aktiviti kebudayaan dan produk kraf tangan, sukan rakyat seperti tarik upih kelapa, galah panjang, congkak dan batu seremban turut akan menarik kedatangan pelancong,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!