Titah Agong beri mesej jelas penerima Darjah Kebesaran tidak kebal undang-undang - Fahmi

Fahmi Foto Bernama
Fahmi Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amaran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang akan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada penerima terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum mahkamah, adalah mesej jelas bahawa mereka tidak kebal daripada undang-undang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menjunjung kasih atas titah Sultan Ibrahim itu berkata, ingatan berkenaan menunjukkan Seri Paduka Baginda mahu mereka yang menerima kurniaan tersebut supaya sentiasa menjaga peribadi dan tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah terutama rasuah.

"Titah Tuanku memberikan satu pedoman kepada kita bahawa mereka yang telah menabur bakti kepada kerajaan serta masyarakat secara amnya wajar diraikan dan diiktiraf, tetapi pada masa sama, pengiktirafan itu tidak bermaksud mereka kebal undang-undang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Hari-Hari Bola ‘Piala Madani’ Lembah Pantai di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Terdahulu pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, maka segala kurniaan itu akan ditarik balik. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!