'Cadangan restoran wajib ada sijil halal bukan beban tapi beri nilai tambah'

Zulkifli (tengah) ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Muktamar Sanawi Abim Kali Ke-53.
Zulkifli (tengah) ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Muktamar Sanawi Abim Kali Ke-53.
A
A
A

SEREMBAN - Cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal bukannya untuk merumitkan peniaga, tetapi memberi nilai tambah kepada perniagaan mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, jika dilihat dari sudut positif, ia sebenarnya memberi kelebihan.

"Sudah semestinya cadangan itu mengambil kira pelbagai aspek dan semestinya apa yang dicadangkan itu tidak membebankan rakyat.

"Sebenarnya kalau kita lihat halal ini dari sudut positif ia sebenarnya beri nilai tambah, malah boleh menarik lebih ramai pelanggan dan sijil halal itu berikan satu kelebihan kepada mereka, " katanya ditemui pemberita pada Muktamar Sanawi Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) kali Ke-53 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, yang mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Bagaimanapun, beliau mengakui yang mungkin menjadi isu adalah untuk memastikan suasana yang lebih kondusif dan lebih mudah untuk mendapatkan sijil halal.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan kepada mana-mana pihak untuk memberikan cadangan bagi membolehkan ia dilaksanakan dengan cara yang lebih baik.

"Dunia melihat Malaysia sebagai peneraju utama halal dan diiktiraf nombor satu dalam pensjilan halal dan keseluruhan kerangka halal di dunia.

Artikel Berkaitan:

"Sudah semestinya kita nak pastikan mempunyai jentera dan ekosistem halal yang terbaik dan usaha-usaha untuk pastikan ekosistem halal itu lebih konferensif sedang dilakukan Jakim dengan kerjasama kementerian lain,"katanya.

Dalam pada, Zulkifli menasihatkan masyarakat di negara ini untuk menghormati sensitiviti dan perspektif semua bangsa di negara ini berhubung isu halal.

"Disamping kita nak pastikan kehalalan makanan itu, kita juga perlu menghormati sensitiviti dan perspektif semua bangsa di negara ini.

"Apa yang kita nak ialah halal itu dapat menyatupadukan kita semua," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!