Taska 'ragut' nyawa Al Fateh tidak daftar JKM
ALOR GAJAH - Taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama di sini yang terbabit insiden bayi maut dalam jagaan pengasuhnya disahkan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Kalsom Nordin berkata, meskipun telah lebih tiga tahun beroperasi, namun pusat jagaan itu masih dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran.
"Hasil semakan mendapati taska tersebut belum berdaftar dengan JKM.
"Namun pihak pengurusan taska sedang mendapatkan sokongan pendaftaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi aspek keselamatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Kalsom berkata, bagaimanapun taska berkenaan telah mendapat sokongan daripada agensi yang lain seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah.
Ujarnya, susulan kejadian itu, dua kakitangan JKM telah melakukan pemeriksaan di premis terbabit pada jam 3.30 petang pada Jumaat selain turut dihadiri pasukan forensik polis.
"Unit kanak-kanak (taska) dan Unit Penguatkuasaan JKM pada hari ini sekali lagi telah melakukan pemeriksaan dan menemuduga pengusaha taska.
"Setakat ini pemeriksaan yang dilakukan, kita tidak pernah menerima sebarang aduan kes di taska ini yang merekodkan kehadiran 10 orang kanak-kanak termasuk mangsa bayi yang meninggal dunia," katanya lagi.
Tambahnya, JKM akan melakukan tindakan Penguatkuasaan LAK (tutup) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) selain akan mengenakan tindakan pendakwaan selepas siasatan lanjut dijalankan.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri meninggal dunia di taska itu.
Sinar Harian turut melaporkan bapa kepada bayi itu, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, terkilan dan sedih kerana mangsa didakwa dibedung, disumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal oleh suspek.
Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya, dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!