Muzium feri siap 90 peratus, dilancar hujung tahun ini
BUKIT MERTAJAM - Sebuah feri ikonik yang sedang dibaik pulih untuk diubahsuai menjadi muzium kini sudah siap melebihi 90 peratus siap.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, feri ikonik tersebut akan diletakkan di Tanjung City Marina di George Town untuk kunjungan orang ramai nanti.
Menurutnya, kerja membaik pulih dan pengubahsuaian dilaksanakan oleh syarikat swasta yang berkelayakan dengan kos mencecah jutaan ringgit.
"Sebuah feri ikonik sedang ditransformasi untuk dijadikan sebuah muzium. Saya difahamkan kerja transformasi telah siap melebihi 90 peratus.
"Apabila ia siap kelak, muzium ini akan diletakkan di Tanjung City Marina untuk kunjungan orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas program 'Jom Durian' di Pasaraya Mydin Bukit Mertajam, di sini pada Sabtu.
Tambah Soon Hin, muzium itu dijangka akan dilancarkan pada hujung tahun ini.
"Ada sebuah lagi feri telah dibeli oleh sebuah syarikat swasta juga yang kini berada di Bayan Baru.
"Saya difahamkan, feri tersebut akan ditransformasi untuk dijadikan restoran namun saya tiada perinciannya," tambahnya.
Beliau berkata lagi, banyak syarikat swasta berminat untuk membeli feri ikonik yang masih ada namun terpaksa membatalkannya selepas mengetahui kos untuk membaik pulih yang mencecah puluhan juta ringgit.
Sebelum ini, Soon Hin berkata, hasrat untuk menjadikan Feri Pulau Kapas sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan kerana terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan selain pajakan telah ditamatkan pada Februari 2023.
Feri tersebut sebelum ini dilaporkan tenggelam di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) Butterworth selepas ia disedari senget dan tenggelam hampir keseluruhan kira-kira jam 3 pagi, Julai lalu.
Kejadian itu dikatakan berlaku selepas tali pengikat feri terputus akibat angin kuat pada malam sebelumnya.
Mengimbas kembali mengenai feri-feri ikonik ini, pada tahun 2021 SPPP telah memajak feri-feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menjadikannya produk pelancongan di Pulau Pinang.
Bagaimanapun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan selain pajakan telah ditamatkan.
SPPP juga menerima beberapa pelawaan daripada beberapa syarikat untuk membeli atau menyewa feri-feri ikonik tersebut.
Bagaimanapun, kos keseluruhan yang tinggi dan cadangan lokasi penempatan feri yang tidak sesuai menyebabkan SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik yang tidak digunakan dengan kadar segera.
Bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar dihentikan, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal.
Bagaimanapun, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri ikonik di Tanjung City Marina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!