SUKIPT: Politeknik, UTAR kuasai acara karate, taekwondo

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian hadir pada majlis penyampaian hadiah acara sukan Karate kategori Kumite 60kg lelaki. FOTO SUKIPT
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian hadir pada majlis penyampaian hadiah acara sukan Karate kategori Kumite 60kg lelaki. FOTO SUKIPT
A
A
A

POLITEKNIK Malaysia dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) masing-masing menguasai acara karate dan taekwondo hari pertama temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 pada Jumaat.

Melalui 13 pingat emas yang dipertandingkan dalam kedua-dua acara, Politeknik Malaysia meraih dua emas dalam acara karate bagi kategori kumite 60 kilogram (kg) lelaki dan kumite 55 kg lelaki dan satu emas lagi melalui acara taekwondo kategori poomsae individu lelaki.

UTAR pula berjaya meraih dua pingat emas melalui acara karate iaitu kata indidividu lelaki dan kata berpasukan lelaki dan satu pingat emas taekwondo menerusi kategori poomsae berpasukan wanita.

Bagi kontinjen lain, Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih pingat emas melalui acara karate kategori kata berpasukan wanita.

Dua lagi emas berjaya direbut oleh Management & Science University (MSU) melalui acara karate kata individu wanita dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi acara kumite 55 kg wanita.

Bagi acara taekwondo, Sunway University merangkul dua pingat emas melalui acara poomsae campuran dan poomsae individu wanita manakala UiTM memastikan pingat emas acara poomsae taekwondo berpasukan lelaki menjadi milik mereka.

Bagi hari kedua pada Sabtu, sebanyak 13 lagi pingat bakal direbut melibatkan tujuh pingat emas untuk karate dan lima pingat emas untuk taekwondo.

Acara karate berlangsung di Dewan Muadzam Shah UUM manakala acara taekwondo pula berlangsung di Dewan Harum Manis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!