Isu sijil halal: DPMM tempelak dakwaan Teresa Kok

Dari kiri: Norsyahrin, Teresa
Dari kiri: Norsyahrin, Teresa
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menempelak kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal yang didakwa akan membebankan peniaga di Malaysia.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, pendapat Teresa bahawa inisiatif itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia bahan ejekan di peringkat antarabangsa adalah tidak tepat.

"Pertama sekali, pensijilan halal merupakan keperluan penting yang memastikan standard kebersihan, keselamatan makanan dan kepatuhan syariah dipatuhi.

"Bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga pengguna bukan Islam yang semakin menyedari kualiti yang diiktiraf melalui proses pensijilan ini.

"Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai beban kepada perniagaan tetapi sebagai peluang untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka pasaran lebih luas sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini Teresa dilaporkan berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Menurutnya, langkah tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Mengulas lanjut, Norsyahrin memaklumkan, pengusaha yang mempunyai sijil halal dilihat lebih kompetitif dan dipercayai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, tindakan mempromosikan pensijilan halal tidak bermakna menjejaskan kepelbagaian budaya Malaysia sebaliknya ia adalah satu cara untuk menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang membentuk majoriti penduduk negara ini.

"Di peringkat antarabangsa, Malaysia dikenali sebagai peneraju dalam industri halal dan langkah ini akan memperkukuh lagi kedudukan negara sebagai hab halal global yang diiktiraf.

"Pandangan bahawa ia akan menjadikan Malaysia bahan ejekan adalah tidak berasas dan bertentangan dengan realiti perkembangan pasaran halal dunia yang bernilai trilion dolar," tegas beliau.

Tambahnya, Teresa perlu melihat usaha berkenaan sebagai satu inisiatif yang akan membantu lebih ramai pengusaha, termasuk pengusaha Melayu untuk mengambil peluang dalam industri halal yang berkembang pesat.

Ujar beliau, peniaga kecil juga mampu menyesuaikan diri dan memanfaatkan pensijilan halal sebagai satu tambah nilai kepada perniagaan masing-masing jika mendapat sokongan sewajarnya.

"Industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada 113.2 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu bersamaan RM500.4 bilion pada 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

"Oleh itu, kami menegaskan bahawa pensijilan halal seharusnya dilihat sebagai langkah positif, bukan sebagai beban. Ini demi memajukan perniagaan tempatan dan mengukuhkan imej Malaysia di mata dunia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!