Isytihar aset sekat kekayaan haram - Rasuah Busters

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengisytiharan aset oleh semua ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang merupakan langkah awal bagi menunjukkan komitmen tanpa kompromi dalam usaha memerangi rasuah.

Rasuah Busters dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu bertanggungjawab mengisytiharkan aset masing-masing bagi memastikan ketelusan proses demokrasi.

"Seiring dasar integriti dan anti rasuah dilaksanakan di pelbagai peringkat organisasi, prinsip pemantapan governans serta ketelusan juga terpakai kepada ahli-ahli Parlimen yang membawa mandat rakyat.

"Pengisytiharan harta adalah antara mekanisme pengurangan risiko rasuah yang penting.

"Deklarasi aset menjadi tekanan moral kepada pihak berpengaruh agar pengurusan dana atau sebarang sumber awam ditadbir dengan berhati-hati serta kuasa dan posisi tidak disalahguna demi kepentingan peribadi sekali gus menumpuk kekayaan haram," katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mengatakan semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan aset bagi memastikan tadbir urus yang telus dapat dilaksanakan dan syarat tersebut tidak hanya terpakai kepada pembangkang sahaja.

Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan ahli politik tidak menggunakan jawatan mereka untuk kepentingan peribadi atau mengumpulkan kekayaan demi kepentingan parti masing-masing.

Tambah kenyataan tersebut, pada 2023 Malaysia kekal berada di kedudukan kelima dalam Corporate Governance Watch.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, untuk memperbaiki kedudukan berkenaan, aspek-aspek governans, tadbir urus dan penguatkuasaan undang-undang perlu terus ditingkatkan selaras dengan matlamat NACS (Pelan Antirasuah Nasional).

"Pengisytiharan yang pada waktu ini dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960 namun Rasuah Busters menegaskan bahawa Malaysia memerlukan Akta Pengisytiharan Harta digubal dengan kerangka pelaporan dan pemantauan yang lebih jelas yang akan menjurus kepada pindaan Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

"Pembentukan akta ini penting untuk memperkukuh undang-undang pemilikan benefisial serta memberikan landasan yang kukuh bagi penggubalan Akta Pendanaan Politik yang kini sedang dalam rangka penelitian oleh pihak kerajaan.

"Keyakinan rakyat, pemegang taruh dan pelabur yang diperkukuhkan akan menyumbang kepada peningkatan penarafan ekonomi dan sosial Malaysia dalam jangka masa panjang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!