PPSMI: KPM tunggu Dr Mahathir untuk bincang

Nie Ching (dua dari kiri) hadir Majlis Pelancaran Program Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C) di Maktab Sultan Ismail dilancarkan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat (dua dari kanan). Foto: Bernama
Nie Ching (dua dari kiri) hadir Majlis Pelancaran Program Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C) di Maktab Sultan Ismail dilancarkan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat (dua dari kanan). Foto: Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melibatkan pelan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, bagaimanapun tarikh perbincangan tersebut masih belum ditetapkan dan ia terpulang kepada kesediaan Dr Mahathir untuk menentukannya nanti.

Menurutnya, lebih 2,000 sekolah daripada 10,216 buah sekolah di bandar dan luar bandar di seluruh negara telah pun menggunakan bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains melalui Program Dwibahasa (DLP).

"Semasa mesyuarat bersama (pentadbiran) yang diadakan di KPM bersama Tun, beliau ada berkongsi pandangan dan visi untuk menggunakan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Matematik dan Sains, namun buat masa sekarang ini, kita tiada peluang lagi untuk bincang secara terperinci tentang pelan pelaksanaannya.

"Kami akan bincang nanti dengan Tun," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir Majlis Pelancaran Program Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C) di Maktab Sultan Ismail dilancarkan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Datuk Seri Azahar Mohamed dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin.

Sementara itu, Nie Ching ketika berucap turut memaklumkan mengenai inisiatif baharu KPM iaitu Akaun Amanah Tabung Penyelenggaraan Sekolah Kerajaan dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, akaun amanah tersebut ditubuh dan diuruskan oleh KPM dan bertujuan mencipta satu platform yang telus bagi orang awam untuk menderma kepada institusi pendidikan negara.

"Memang tidak dapat dinafikan bahawa KPM memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam mewujudkan kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk memenuhi kehendak para pelajar.

"Sumbangan kepada akaun ini layak menerima pengecualian cukai pendapatan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Akaun ini boleh menerima sumbangan wang daripada syarikat swasta, orang awam, persatuan, pertubuhan tempatan atau antarabangsa dan agensi-agensi yang tidak dibiayai oleh Kerajaan Malaysia.

"Kita mempunyai 6,202 buah sekolah kerajaan, 2,082 buah sekolah menengah, 20 buah universiti awam, 36 politeknik dan 103 Kolej Komuniti.

"Tabung ini juga membenarkan penderma memilih institusi yang ingin dibantu dan wang sumbangan tersebut akan disalurkan melalui akaun ini ke institusi pendidikan tersebut.

"Pihak kementerian berharap tabung ini dapat menerima sambutan yang baik agar sekolah-sekolah kita dan institusi pendidikan kita dapat dinaik taraf demi kesejahteraan anak-anak kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!