Bayi maut: Mindef akan bantu proses perubahan penempatan anggota

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Pertahanan akan membantu mempercepat permohonan perubahan penempatan tugas bagi anggotanya yang kematian anak berusia lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) semalam, kata Timbalan Menterinya, Adly Zahari.

Beliau berkata, kementerian memahami apa yang sedang dialami oleh Mejar Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 39, dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini, 39, bukan sesuatu yang mudah kerana mereka telah berusaha selama 13 tahun untuk mendapatkan anak.

"Dalam tempoh sukar ini, kita akan bantu agar suami (Mejar Mohd Fikry Amri) yang merupakan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja dapat berada satu rumah bersama isterinya (Sabrina) memandangkan beliau bertugas di Kem Perdana Sungai Besi (Kuala Lumpur) manakala isterinya di Melaka.

"Kita akan membantu dengan cara memanjangkan permohonan mereka untuk perubahan penempatan, namun itu bergantung juga kepada kelulusan peringkat perkhidmatan anggota pertahanan itu," katanya kepada pemberita selepas menziarahi pasangan suami isteri itu di rumah mereka di Taman Kelemak Utama di sini hari ini.

Adly berkata, pihaknya juga akan memantau kebajikan pasangan berkenaan termasuk memberikan bantuan psikologi diperlukan.

"Kita nampak suami paling terkesan dan disebabkan itulah kita akan berikan semua bentuk bantuan yang bukan sahaja melibatkan aspek fizikal tetapi juga psikologi. Hal ini kerana kita mahu memastikan kestabilan kepada keluarga anggota ini kerana ia akan memberi kesan kepada perkhidmatannya nanti," katanya.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah mahu satu pemantauan dan tindakan tegas diambil oleh pihak berwajib terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat terhadap taska swasta yang cawangannya tidak mempunyai lesen.

Artikel Berkaitan:

Semalam media melaporkan bayi berkenaan Muhammad Al Fateh Amri ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri, berkeadaan biru dan hidung berdarah selepas dihantar oleh ibu dan datuknya ke sebuah taska sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah dan doktor mengesahkan kematiannya.

Ekoran kejadian itu, seorang wanita berusia 34 tahun yang merupakan pengasuh di taska di Taman Kelemak Utama direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!