Mengamuk selepas tak dibenar lihat jenazah ahli keluarga

Tangkap layar video kamera rakaman litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek bertindak memecahkan cermin unit forensik Hospital Sungai Buloh dalam kejadian pada Khamis.
Tangkap layar video kamera rakaman litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek bertindak memecahkan cermin unit forensik Hospital Sungai Buloh dalam kejadian pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang lelaki mengamuk dengan memecahkan cermin di bahagian kaunter Unit Forensik Hospital Sungai Buloh gara-gara didakwa tidak dibenarkan melihat jenazah ahli keluarga pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, maklumat berkaitan kejadian diterima pada jam 12 tengah hari.

"Kejadian melibatkan seorang lelaki tempatan bertindak memecahkan cermin di kaunter unit forensik hospital berkenaan menggunakan topi keledar.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kerana suspek dalam keadaan marah dan tertekan kerana tidak dapat melihat jenazah ahli keluarganya yang meninggal dunia," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, anggota polis yang dikejarkan ke lokasi kejadian kemudiannya menahan suspek berumur 43 tahun itu.

"Selain itu turut dirampas satu topi keledar dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

"Semakan dijalankan mengesahkan suspek mempunyai sejarah pesakit mental dan beberapa kali tidak datang untuk janji temu bersama doktor," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Siaran dikongsi oleh Sinar Harian (@sinarharian)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!