Minyak masak Thailand mahal, status halal diragui punca seludup berlarutan

Azman ditemui media selepas Perasmian Jualan Ihsan Rahmah Madani di sebuah pusat membeli-belah hari ini. Foto Bernama
Azman ditemui media selepas Perasmian Jualan Ihsan Rahmah Madani di sebuah pusat membeli-belah hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Harga minyak masak di Thailand yang mahal hingga mencecah RM8 sekilogram (kg) berbanding minyak masak bersubsidi di negara ini yang berharga RM2.50 per kg dipercayai punca kegiatan penyeludupan bahan itu masih berlarutan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, selain faktor harga, majoriti penduduk di Selatan Thailand khususnya Narathiwat yang beragama Islam lebih menyakini status halal minyak masak keluaran Malaysia.

"Minyak masak keluaran Thailand diperbuat daripada jagung dan harga lebih mahal berbanding minyak masak Malaysia yang diperbuat daripada kelapa sawit.

"Minyak masak keluaran Malaysia yang diseludup ke sana akan dijual dengan harga antara RM4.50 hingga RM5," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Ihsan Rahmah Madani dengan kerjasama ATH Group di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Aggressive Transasia Group Holding (ATH) Norlisan Ramzai yang turut menawarkan pakej pembinaan rumah pada harga Rahmah sebagai menyokong agenda Kerajaan Perpaduan bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Mengulas lanjut, Azman berkata, kegiatan penyeludupan minyak masak di sempadan buat masa ini bagaimanapun semakin berkurangan hasil kerjasama padu bersama agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Polis Marin.

"Kini kita dapati penyeludupan minyak masak hanyalah dalam skala kecil iaitu antara 10 hingga 15 kotak berbanding rampasan di dalam sebuah treler yang pernah direkodkan sebelum ini.

"KPDN bersama agensi-agensi lain akan terus melakukan oeprasi bersepadu dengan lebih hebat dalam mengekang ketirisan barangan kawalan bersubsidi ke negara jiran sekali gus merugikan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Azman berkata, bermula Januari hingga Ogos lepas pihaknya telah membuat sitaan barang kawalan bernilai RM451,378 meliputi petrol, diesel, gula dan minyak masak dengan tangkapan sebanyak 180 orang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!