‘Jakim sedia beri kerjasama penuh’

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah syarikat yang disiasat polis berhubung dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak antara lapan kumpulan yang dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah syarikat yang disiasat polis berhubung dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak antara lapan kumpulan yang dipantau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri berhubung isu membabitkan sebuah syarikat dipercayai berkaitan dengan gerakan agama.

Menurut Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam.

“Ia adalah perkara asas dalam Islam yang mesti dipelihara setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, syarikat itu didakwa ada kaitan dengan pertubuhan ajaran sesat, antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman kini sedang memantau syarikat tersebut susulan empat laporan polis yang diterima berkaitan eksploitasi kanak-kanak.

Sementara itu, Mohd Na’im turut menggesa rakyat Malaysia untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa jika wujud kegiatan yang diragui sehingga berupaya memesongkan akidah umat Islam.

“Apa-apa kegiatan yang diragui dan boleh memesongkan akidah umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meminta masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membuat laporan.

“Ini penting sebagai asas dan maklumat sokongan kepada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri membuat siasatan lanjut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya turut mengarahkan Jakim bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk memperhebatkan usaha penerangan tentang kepentingan menjaga akidah kepada umat Islam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!