Soloz nasihat Team Vamos 'kebal' kritikan, bukti kemampuan di MPL musim ke-14
BEKAS pemain Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) terkemuka negara, Muhammad Faris Zakaria menasihatkan pemain Team Vamos tidak terkesan dengan sebarang kritikan, sebaliknya membuktikan kehebatan mereka di gelanggang MLBB dalam Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia musim ke-14 ini.
Muhammad Faris atau lebih dikenali sebagai Soloz yang menubuhkan pasukan berkenaan sebagai pemilik bersama bermula bulan lepas berkata, ini bagi menjaga mental pemain dalam mengharungi kejohanan berkenaan yang sudah membuka tirai hari ini hingga 13 Oktober.
"Saya (beritahu) mereka memang hidup keras jadi elak (terlibat) dengan benda macam itu. Sebagai lelaki, kita perlu ‘keras’ sikit dan kalau tak suka mesej (kritikan) abaikan sahaja sebab terlampau memikirkan sakit hati,” katanya kepada pemberita di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Team Vamos dilaporkan terpalit kontroversi dalam kalangan peminat e-sukan apabila empat pemain dan satu jurulatih daripada pasukan Homebois kini bernaung di bawah Team Vamos.
Empat pemain berkenaan ialah Mohamad Zulhisyam Mohd Nor (Xorn), Muhammad Nazhan Mohd Nor (Chibi), Kenneth Sablande Barro (Nets), Muhammad Ifran Aujang (Sepat) dan jurulatih Khairul Azman Mohd Sharif (Pabz).
Dalam pada itu, Team Vamos berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan hari ini apabila menang 2-0 ke atas Red Esports dan Chibi dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai dalam aksi berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!