Tambah integriti dalam sektor halal - MEH
SHAH ALAM - Cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan merupakan langkah inovatif dalam menambah integriti dalam sektor halal.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, sebelum pelaksanaan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu melakukan satu kajian menyeluruh memandangkan ia melibatkan populasi peniaga yang besar di seluruh negara.
Menurutnya, MEH bersedia membantu JAKIM dalam menjalankan kaji selidik tentang tahap keberkesanan pelaksanaan cadangan tersebut.
“Berdasarkan pengalaman MEH dalam berinteraksi dengan ahli-ahli di seluruh negara, dapatan kami ialah memperolehi sijil halal JAKIM khususnya bagi peniaga mikro adalah rumit kerana ia melibatkan birokrasi digital terutamanya dalam mengisi borang digital.
“Bagi kalangan usahawan sektor informal pula mereka tidak layak lantaran tidak mendaftarkan perniagaan.
"Ini sekali gus menyukarkan usahawan mikro terdiri daripada ibu tunggal dan golongan asnaf yang terlibat dalam sektor penyediaan makanan untuk mendapatkan sijil halal,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, JAKIM dalam satu kenyataan mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Dalam pada itu, Helmi memaklumkan, pihaknya berpendapat pihak Halal Hub JAKIM harus mewujudkan suatu skim khas untuk usahawan mikro dan sektor informal untuk mendapatkan sijil halal tanpa terlalu banyak karenah birokrasi.
Katanya, di bawah skim khas itu, mereka juga perlu dikenakan yuran yang rendah dan beroperasi di premis yang tidak formal.
“Kemunculan sijil halal untuk sektor restoran dan penyediaan makanan amat penting untuk memastikan kehalalan makanan yang disaji dan dijual terutamanya dalam aspek bekalan sumber ayam dan daging.
“Keadaan menjadi lebih kritikal kalau ia melibatkan restoran daripada kalangan bukan Islam dan warga asing yang sering menimbulkan kerisauan terhadap tahap kehalalan bekalan ayam dan daging yang mereka perolehi.
“Justeru dengan adanya sijil halal ini maka pengguna Islam akan lebih prihatin dalam memilih restoran selain menambahkan keyakinan sebagai pengguna,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!