5 kampung di Baling dilanda banjir kilat

Anggota APM membantu memindahkan mangsa di sebuah kampung di mukim Kupang, pada Sabtu.
Anggota APM membantu memindahkan mangsa di sebuah kampung di mukim Kupang, pada Sabtu.
A
A
A

BALING - Sebanyak 19 kediaman di lima kampung di daerah ini dilanda banjir kilat susulan cuaca tidak menentu dan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, antara kampung terjejas termasuklah Kampung Hangus, Kampung Bendang Padang dan Kampung Bendang Becah di mukim Kupang.

Beliau berkata, Kampung Jernang dan Kampung Sedim di mukim Bakai turut dinaiki air.

"Hujan lebat terutama pada waktu petang dan malam menyebabkan beberapa kawasan rendah terdedah kepada risiko banjir kilat dan tanah runtuh.

Anggota APM melakukan pemantauan banjir di sekitar daerah Baling pada Sabtu.
Anggota APM melakukan pemantauan banjir di sekitar daerah Baling pada Sabtu.

"Hasil tinjauan petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM) di tempat kejadian mendapati berlakunya banjir kilat di beberapa buah kampung," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, banjir sungai terjadi apabila hujan lebat yang berlaku di kawasan hulu menyebabkan alur sungai tidak mampu menyalurkan kuantiti air hujan yang banyak.

Susulan itu, beliau memaklumkan, petugas APM membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

Mohd Faizol memaklumkan, operasi pemindahan dan bantuan sedang dijalankan untuk memastikan keselamatan orang ramai.

"Melalui pemantauan, keadaan cuaca hujan renyai-renyai di beberapa tempat di sekitar daerah Baling, manakala paras air sungai Baling dalam keadaan berjaga-jaga," katanya.

Menurut beliau, setakat jam 7 malam, tiada pusat pemindahan dibuka di daerah ini.

Mohd Faizol memaklumkan, penduduk kampung dinasihatkan berwaspada dan menghubungi pihak keselamatan sekiranya ada sebarang kecemasan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!