‘Pelaksanaan DNS tidak zalim’ - SKMM

Cadangan menggunakan pengalihan perkhidmatan nama domain awam (DNS) mendapat respons negatif daripada pengguna media sosial dan rakyat kerana difahamkan tiada perbincangan dibuat oleh kerajaan dengan pihak berkepentingan setakat ini. Gambar hiasan
Cadangan menggunakan pengalihan perkhidmatan nama domain awam (DNS) mendapat respons negatif daripada pengguna media sosial dan rakyat kerana difahamkan tiada perbincangan dibuat oleh kerajaan dengan pihak berkepentingan setakat ini. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menolak dakwaan bahawa agensi berkenaan bertindak zalim susulan tindakan mengalihkan trafik perkhidmatan nama domain (DNS).

SKMM dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan itu adalah untuk melindungi kumpulan yang terdedah daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan.

“Ada juga dakwaan tidak tepat mengenai larangan menyeluruh dengan sesetengah pihak menyatakan bahawa laman web yang sah akan tidak boleh diakses kerana pengalihan DNS.

“Laman web hanya disekat apabila didapati mempunyai kandungan hasad atau menyalahi undang-undang seperti perjudian dalam talian, pornografi, pelanggaran hak cipta, penipuan, pancing data dan sebagainya,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Sebelum ini, SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet (ISP) untuk mengalihkan trafik DNS yang menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS mereka sendiri.

Menurutnya, hal itu bagi memastikan pengguna terus memperoleh faedah daripada perlindungan disediakan oleh penyedia DNS ISP tempatan dan supaya laman web yang berniat jahat tidak dapat diakses kepada rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, SKMM menegaskan laman web yang sah akan boleh diakses seperti biasa dan dapat dicapai tanpa gangguan ketara.

Dalam pada itu, suruhanjaya berkenaan turut menggalakkan pengguna melaporkan sebarang kesulitan dalam mengakses laman web yang sah terus kepada ISP masing-masing supaya isu itu dapat ditangani segera.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana laman web yang dipercayai menjadi sasaran atau terkesan secara tidak adil boleh membuat rayuan melalui saluran yang ditetapkan.

“Tribunal Rayuan yang ditubuhkan oleh SKMM dan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi beroperasi secara bebas untuk memastikan semakan yang adil dan saksama bagi setiap kes,” ujarnya.

Tambah SKMM lagi, pihaknya kekal berusaha mengekalkan persekitaran selamat dan terjamin di Malaysia serta mengimbangi perlindungan pengguna Internet dengan keperluan untuk akses lancar kepada kandungan dalam talian yang sah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!