Didik anak batas sentuhan selamat

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa perlu mendidik dan mengajar anak-anak tentang batas sentuhan selamat demi melindungi mereka daripada menjadi mangsa pengantunan seksual (sexual grooming).

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Datin Dr Ruhani Mat Min berkata, ahli keluarga terutama ibu bapa perlu berinteraksi secara santai di rumah dengan memberitahu anak-anak apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak.

“Berbincang dengan anak-anak secara berkala tentang tindakan perlu dilakukan apabila keadaan tersebut berlaku dan sebagainya.

“Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang perhubungan antara ahli keluarga dengan orang luar terutamanya berkaitan batas-batas yang perlu ada,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambah beliau, tahap kesedaran orang ramai termasuk ibu bapa, anak mahupun masyarakat terhadap pengantunan seksual ketika ini dibimbangi agak rendah hingga ada tidak sedar sesuatu perbuatan itu perkara salah.

“Sebagai contoh, kes-kes yang melibatkan gangguan seksual dalam kalangan ahli keluarga, saya rasa keadaan ini berlaku apabila anak-anak tidak tahu batas sentuhan itu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ruhani berpandangan, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan tentang isu tersebut.

Beliau berkata, ibu bapa yang mempunyai ilmu berkaitan dapat mendidik anak-anak tentang tindakan perlu diambil mereka apabila berdepan dengan perkara melampaui batas.

Artikel Berkaitan:

“Ibu bapa juga perlu dididik melalui media sosial berhubung isu sexual grooming, yang mana platform tersebut dilihat cepat dan berkesan memberi pendedahan tentang isu berkaitan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, masyarakat dan sekolah perlu sama-sama memainkan peranan memberi pendedahan itu dan tidak meletakkan tanggungjawab kepada ibu bapa semata-mata.

“Kita kena membentuk masyarakat supaya tahu membezakan batas, sekali gus mengelakkan kita normalisasikan perkara dirasakan romantik,” tambahnya.

Beliau menyifatkan, mana-mana individu tidak sepatutnya merakamkan gambar orang lain khususnya kanak-kanak tanpa mendapat kebenaran jelas daripada ibu bapa mereka.Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan isu membabitkan seorang pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid perempuan sekolah rendah dengan meletakkan kapsyen ‘crush’ dan ‘kesayangan’ membuka mata banyak pihak tentang sexual grooming.

Aktivis kemanusiaan, Syed Azmi Alhabshi berkata, laporan mengenai kes berkenaan telah membuka jalan untuk masyarakat lebih faham mengenai undang-undang dan kesalahan yang dilakukan.

Beliau berpandangan, advokasi perlu diteruskan memandangkan ramai tidak tahu undang-undang dan sebab perbuatan pemandu bas sekolah itu salah.

Sebelum ini tular beberapa video memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok merakam video murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai ‘crush’ atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid tersebut dengan jelas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!