KPIBK tak setuju Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris

 Rosli Yang Danian
Rosli Yang Danian
A
A
A

IPOH - Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Perak meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memikirkan semula keputusan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusinya, Datuk Rosli Yang Danian berkata, pelaksanaan semula PPSMI akan menambah bebanan tugas kepada guru selain memberikan tekanan kepada pelajar.

Beliau berkata, sesuatu dasar yang ingin dikembalikan perlu dilihat dari sudut keberkesanan pelaksanaannya sebelum ini.

"Kita secara dasarnya tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI ini kerana sebelum ini ia gagal dan tidak harus diteruskan. Kerajaan harus memikirkan cara lain untuk memperkasakan bahasa Inggeris jika itu alasan diberikan bagi pelaksanaannya.

"Semua negara di dunia menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk mengajar Sains dan Matematik ini. Jadi kita harus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir untuk memperkenalkan semula PPSMI di sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu memberikan fokus kepada usaha memperkasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!