Dr Kalwinder Singh kini presiden baharu MMA

Dr Kalwinder Singh
Dr Kalwinder Singh
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melantik Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira dilantik sebagai presiden baharu persatuan itu menggantikan penyandangnya Dr Azizan Abdul Aziz.

Dr Kalwinder berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kementerian lain dan jabatan kerajaan ke arah mewujudkan serta menjamin masa depan lebih baik untuk doktor dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

“Fokus utama saya adalah untuk melakukan semua yang termampu dalam menyediakan dan meletakkan asas masa depan lebih baik dan untuk para doktor.

“Ini merangkumi melihat hak mereka mendapatkan jaminan pekerjaan, persekitaran kerja yang sihat, peluang latihan pakar, keseimbangan kehidupan kerja, pengiktirafan terhadap usaha dari segi gaji, elaun dan kesejahteraan mental,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, pihaknya mengetahui bahawa kerajaan telah menyatakan akan ada perubahan dalam elaun panggilan atau on-call dan berharap peningkatan dalam kuantum adalah bersesuaian dengan tanggungjawab yang dijalankan oleh doktor.

Tambahnya, kenaikan elaun atas panggilan adalah sesuatu yang mengiktiraf kerja yang dilakukan oleh doktor dalam memastikan penjagaan 24 jam kepada pesakit di hospital.

Mengulas mengenai Belanjawan 2025, beliau memaklumkan, rancangan untuk meningkatkan bajet penjagaan kesihatan negara dari segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu dipercepatkan.

“Ini bukan sahaja untuk pembangunan infrastruktur tetapi untuk penambahbaikan aset terpenting iaitu kakitangan penjagaan kesihatannya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagi doktor dalam penjagaan kesihatan swasta, beliau memberitahu, masih terdapat beberapa isu perlu ditangani seperti penyelarasan jadual bayaran pengamal perubatan am swasta (GP) serta penanggung insurans dan pentadbir pihak ketiga (TPA).

Dr Kalwinder yang juga penerima pingat perkhidmatan paling lama daripada MMA akan turut mengkaji isu kemasyarakatan seperti kawalan dan pengawalseliaan industri tembakau dan vape, perancangan untuk keperluan penduduk yang semakin menua serta kawalan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pengekalan bakat terutamanya doktor muda adalah penting untuk masa depan sistem penjagaan kesihatan awam negara.

“Mengekalkan doktor muda kami adalah penting kerana mereka akan menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan pada masa hadapan.

“Semoga persoalan doktor kontrak dan perjawatan tetap dapat diselesaikan segera manakala peluang latihan pasca siswazah di dalam negara perlu dipertingkatkan dengan doktor muda diberi pilihan untuk memilih laluan yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!