Festival Selangor@Batu Laut papar budaya, etnik tempatan

A
A
A

KUALA LANGAT - Keunikan budaya dan kepelbagaian kaum di Selangor ditonjolkan pada Festival Selangor@Batu Laut yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 September lalu.

Program dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalul Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor dengan kerjasama kerajaan negeri.

Amirudin (dua dari kanan) melepaskan peserta fun ride yang terdapat di Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.
Amirudin (dua dari kanan) melepaskan peserta fun ride yang terdapat di Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.

Selain memaparkan pelbagai budaya seperti masyarakat Jawa, Bugis, Mandailing, Banjar, Melayu dan Orang Asli, festival turut dimeriahkan dengan simulasi perkahwinan etnik di Selangor, Pasar Saloma, Jualan Ehsan Rahmah dan Agro Madani.

Peserta turut berkampung di Dataran Pantai Batu Laut melalui Perkhemahan Budaya Glamping@ Batu Laut.

Perkhemahan Budaya Glamping@ Batu Laut pada Festival Selangor@Batu Laut.
Perkhemahan Budaya Glamping@ Batu Laut pada Festival Selangor@Batu Laut.

Turut diadakan Pertandingan Keroncong Antarabangsa, Pertandingan Bintang Asia Remaja Selangor selain pelbagai aktiviti mencungkil bakat dan sukan rakyat.

Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, penganjuran program itu bagi memartabat budaya tempatan disamping menjayakan misi ke arah Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung yang hadir pada Majlis Perasmian Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.
Pengunjung yang hadir pada Majlis Perasmian Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.

Menurutnya, program tersebut selari dengan usaha kementerian untuk membantu memajukan industri pelancongan dan budaya selaras dengan inisiatif digariskan dalam gagasan Malaysia Madani.

Ujarnya, MOTAC melalui Urus Setia Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) telah menyediakan satu insentif dalam bentuk geran sokongan untuk menggalakkan pelaksanaan aktiviti seni dan budaya di seluruh Malaysia.

"Pada tahun ini, sehingga Julai lalu sebanyak RM2.9 juta telah disalurkan kepada 47 persatuan dan syarikat seni bagi membantu menyemarakkan aktiviti seni dan budaya di Selangor.

"Sementara di bawah JKKN, sebanyak RM160,000 peruntukan disalurkan kepada 19 persatuan seni budaya Selangor dan sebanyak RM1.6 juta kepada JKKN Selangor," katanya pada Majlis Perasmian Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.

Amirudin (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.
Amirudin (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta turut dihadiri Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.

Sementara itu Amirudin berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan sekiranya MOTAC serta JKKN Selangor berhasrat menjadikan penganjuran festival itu sebagai acara tahunan di Selangor.

Pasar Saloma antara menjadi tarikan pengunjung Festival Selangor@Batu Laut.
Pasar Saloma antara menjadi tarikan pengunjung Festival Selangor@Batu Laut.

"Program boleh diperluaskan ke lokaliti lain kerana setiap kawasan ada kebudayaan tersendiri seperti daerah Hulu Langat dan Semenyih terdapat komuniti Minang manakala Sabak Bernam dengan orang Jawa.

"Kerajaan negeri mahu memperkenalkan keunikan budaya itu dan penglibatan orang kampung dalam program ini menunjukkan perkembangan yang baik," katanya.

Persembahan kebudayaan semasa Majlis Perasmian Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.
Persembahan kebudayaan semasa Majlis Perasmian Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.

Pada perkembangan sama, beliau memaklumkan, selain giat mempromosi pelancongan kebudayaan dan kesenian, kerajaan negeri juga dalam usaha memperkenalkan citra Selangor membabitkan Cempuling.

"Setiap negeri ada imej tersendiri tetapi Selangor ada semua (budaya) tersebut, jadi kita bangunkan Cempuling untuk jadikannya sebagai satu identiti negeri.

"Cempuling telah diperluas ke peringkat sekolah sejak empat tahun lalu yang bermula dengan satu ke dua kumpulan kini berkembang kepada 15," ujarnya.

Amirudin (dua dari kanan) melepaskan peserta fun ride yang terdapat di Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.
Amirudin (dua dari kanan) melepaskan peserta fun ride yang terdapat di Festival Selangor@Batu Laut pada Sabtu.

Tambah beliau, seni budaya itu dalam usaha untuk terus dilebarkan ke daerah-daerah lain selain cadangan penyediaan peruntukan khusus bagi tujuan itu.

"Insya-ALLAH, perkara tersebut akan diperhalusi melalui Bajet 2025 supaya aktiviti pembangunan kebudayaan ini dapat dikembangkan.

"Menjadi hasrat saya, apabila orang sebut Selangor akan dikaitkan dengan Cempuling. Jika usaha ini berjaya, beberapa budaya lain akan diperkenal melalui kaedah sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!