Polis sangkal dakwaan Betty Banafe siasatan tidak ikut SOP

Betty Banafe (kiri), Ramli
Betty Banafe (kiri), Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan pelakon wanita, Betty Banafe berkaitan pihak polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan 14 laporan sejak dua tahun yang lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan satu hantaran video melalui aplikasi TikTok yang dibuat melalui akaun bettybanafee.

"Melalui video tersebut dinyatakan JSJK telah gagal membuat siasatan terhadap 14 laporan polis itu.

"Berdasarkan semakan, 14 laporan polis tersebut telah dibuat oleh penama Shakib Abu Bakar Banafee (dipercayai adik kepada individu dalam video tersebut) dan empat penama lain yang berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ramli berkata, kesemua laporan tersebut disiasat dengan sewajarnya oleh pihak polis melalui dua kertas siasatan yang telah dibuka masing-masing di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 akta sama.

"Siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan telah selesai dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun lalu, selepas didapati tiada keterangan yang mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah dalam kes tersebut.

"Siasatan kes ini malahan telah dirujuk dan disemak semula oleh pihak Peguam Cara Negara pada Ogos lalu dan keputusan NFA dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, pegawai penyiasat juga telah pun mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu dalam kes terbabit berkenaan keputusan siasatan kes.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, siasatan masih dijalankan. PDRM memberi jaminan siasatan yang adil serta telus akan dilaksanakan bagi memastikan prinsip undang-undang dan keadilan sentiasa dipelihara," katanya.

Ramli menegaskan semua laporan polis yang diterima akan disiasat dengan sewajarnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Siasatan yang dijalankan akan merangkumi keterangan serta bukti daripada pihak-pihak

yang berkaitan termasuklah pengadu dan suspek.

"Adalah tidak wajar untuk melemparkan tuduhan negatif kepada pihak polis hanya disebabkan dapatan siasatan tidak berpihak kepada pengadu," katanya.

Beliau berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh pemilik akaun TikTok bettybanafee bahawa pihak polis tidak mempunyai SOP dalam siasatan adalah tidak benar sama sekali.

"Pihak PDRM menyangkal dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!