Politik Malaysia ini macam sangkar singa - Hassan Karim

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

AKU pernah terbaca dalam sebuah novel karangan Promedya Anantatoer, seorang penulis Indonesia yang terkenal.

Beliau berkata, bahawa "dunia politik ini seperti sangkar singa".

Apabila aku teringat frasa ini dan membaca akhbar bertarikh semalam 7 September bahawa Muhyiddin Yassin bekas Perdana Menteri dan mantan Menteri Pendidikan satu masa lalu akan disiasat oleh SPRM berkenaan projek sekolah 1BestariNet, lalu aku menarik nafas yang berat dan menggeleng kepala.

Mungkin apa yang Promedya katakan itu betul.

Ramai dalam sangkar singa sekarang.

Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), Daim (Tun Dr Daim Zainuddin ) dan Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sekadar menyebut beberapa nama.

Mereka semua ini berasal dari sarang yang sama iaitu UMNO.

Tubuh badan mereka ada DNA UMNO.

Artikel Berkaitan:

Singa yang sedang berkuasa akan menyerang tanpa kasihan singa yang ditewaskan.

Singa Langkawi menyerang singa Pekan. Berakhir singa Pekan dipenjarakan.

Lebih suku kurun yang lalu, singa Kubang Pasu sebelum bertukar nama singa Langkawi telah menewaskan singa Permatang Pauh dengan berkesudahan singa Permatang Pauh terpenjara enam tahun.

Lalu apabila singa Permatang Pauh berkuasa selepas berhijrah ke laman Tambun maka beberapa singa besar dan kecil menjadi mangsa pula.

Tetapi ada juga diselamatkan sedikit sebanyak.

Rangkap kata Pramoedya Anantator memasuki babak drama sangkar singa terkini dan semasa secara live dan siar langsung.

Singa dari Pagoh telah diheret ke mahkamah dalam dua kes termasuk korupsi dan anti-royal yang dipanggil hasutan.

Dituduh dalam kes Jana Wibawa dan Akta Hasutan yang didakwa menghina raja.

Hukuman kedua-duanya ialah penjara bertahun-tahun.

Kini datang pula siasatan episod 1BestariNet.

Nampak semacam overkill.

Tetapi begitulah resam dunia politik sangkar singa.

Malah persengketaan antara singa Langkawi dan singa Tambun masih berterusan.

Anak-anak singa Langkawi jadi mangsa disiasat SPRM atas kesalahan si bapa mereka.

Tetapi singa Langkawi bukan sebarang singa.

Dia bingkas melawan balik dengan menyaman singa Tambun beratus juta ringgit atas tuduhan memfitnahnya kerana menyakau, mencuri, merompak dana negara selama lebih 22 tahun plus 22 bulan berkuasa.

Aduh! Hebat drama sangkar singa di Malaysia ini.

Tak pasal-pasal Pandora box terbongkar dan Pandora papers, Panama papers tersurat kembali terdedah hingga ke pantai Malaysia.

Kesannya mantan singa Merbok di Kedah yang telah lama hilang dari radar politik muncul kembali apabila ditangkap dan dibicarakan atas kesalahan jenayah.

Kasihan suami isteri diheret ke mahkamah di hujung usia tua mereka.

Memang tak ada belas kasihan dan simpati dalam dunia politik sangkar singa ibarat si singa berkuasa sedia makan daging kaum species sendiri.

Tetapi singa yang sedang berkuasa kadang-kadang ada peri kasihan dan bertimbang rasa juga di mana doktrin engkau tolong aku, lalu aku tolong engkau juga.

Babak seperti ini pernah kelihatan di mana masih ada singa membantu singa yang lain dalam kes dilepaskan dalam DNAA dan didiskaun hukum penjara dan denda.

Singa dari Bagan Datuk dan Pekan beruntung menerima Amnesty dari singa sang penguasa sekarang yang concerned serta berhati nurani dan baik hati kerana pemerintahannya berjiwa Madani.

Singa yang masih selamat ketika ini kerana telah bersara dan berundur beberapa tapak ke belakang ialah singa dari Kepala Batas dan Bera.

Itupun belum pasti.

Hati-hati.

* Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!