Bakul pun nak curi!

Lelaki tersebut memindahkan pakaian mangsa ke bakul milik pengunjung dobi yang lain.
Lelaki tersebut memindahkan pakaian mangsa ke bakul milik pengunjung dobi yang lain.
A
A
A

DAMANSARA - "Bakul baju pun nak curi!" Itu antara komen netizen selepas melihat rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki melarikan bakul pakaian milik pengunjung sebuah pusat dobi di Kota Damansara di sini malam tadi.

Bakul itu milik mangsa berusia lewat 30-an yang menghantar pakaian untuk dicuci di pusat dobi layan diri kira-kira jam 6 petang.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, pakaian itu siap dibasuh kemudian dikeringkan dan dilipat pekerja dobi menerusi perkhidmatan yang disediakan di premis itu.

"Pekerja kedai dobi balik selepas tamat waktu bekerja pada jam 8 malam dan kira-kira jam 9 malam suami ke pusat dobi untuk ambil pakaian siap dicuci tapi apabila dia sampai di rumah saya terkejut suami bawa balik bakul lain tetapi di dalamnya memang pakaian kami sekeluarga.

"Biasanya bila hantar pakaian ke dobi, pekerja akan keringkan dan lipatkan baju sebelum meletakkan kembali dalam bakul saya. Bakul itu akan disorok di bawah meja di tempat sama di pusat dobi itu untuk mudahkan kami mengambilnya.

"Suami kata masa ambil baju tak ada bakul biru yang biasa kami guna dan dia terus bawa balik bakul lain memang siap terisi pakaian kami kerana disangkanya dimasukkan pekerja kedai dobi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mangsa kemudian menghubungi pekerja dobi untuk memaklumkan perkara itu dan selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mereka dapati bakul itu dilarikan seorang lelaki kira-kira jam 8.30 malam.

"Saya tak kisah bakul itu hilang, tapi geram sebab baju tu dah dilipat dan ia dimasukkan pula ke dalam bakul orang lain. Nasib baju tak hilang.

Artikel Berkaitan:

"Bakul orang lain yang dibawa balik suami saya dah pulangkan balik ke pusat dobi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!