Dua syarikat konsortium disenarai pendek bida projek iRide

Anthony ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Perak kali ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.
Anthony ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Perak kali ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Dua syarikat konsortium terbesar di negara ini sudah disenarai pendek bagi melaksanakan pembangunan projek Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide) seluas 78 hektar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dua syarikat tempatan itu telah menunjukkan minat untuk membangunkan tanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) tersebut di belakang Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Ipoh yang akan dijenamakan sebagai Ipoh Sentral.

"Sekarang ini kita sedang menilai mana yang mempunyai cadangan lebih baik.

"Dengan perkembangan ini, kita menjangkakan projek tersebut boleh dianugerahkan dan ditandatangani bersama pemaju menjelang suku keempat tahun ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Perak kali ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad.

Pelan pembangunan iRide yang dilancarkan pada Oktober 2019 merupakan projek kerjasama RAC dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menyasarkan pembangunan kawasan seluas 27 hektar secara bersepadu dan diintegrasi sebagai hab pengangkutan utama.

Pembangunan di kawasan itu dipecahkan mengikut segmen tertentu merangkumi perumahan termasuk mampu milik, hotel, institusi pendidikan, komersial, kawasan hijau dan bercampur bagi memastikan pembangunan ini seimbang dan komprehensif.

Sementara itu, Anthony berkata, projek dilaksanakan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di bandar raya Ipoh selari dengan pengoperasian stesen itu sebagai laluan penting dan sibuk.

Katanya, selain kekerapan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan ETS Ekspres dari Kuala Lumpur ke Ipoh, stesen itu juga menjadi laluan komuter untuk ke utara.

Artikel Berkaitan:

"Untuk ke hadapan, kita memang ada perancangan untuk menambah kekerapan perkhidmatan ini.

"Jadi stesen ini nanti bukan sahaja berperanan sebagai stesen warisan, tetapi laluan yang penting dan paling sibuk," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!