Penduduk pedalaman Gua Musang bakal nikmati bank bergerak

Awang Adek (dua dari kanan) melihat kemudahan kaunter ejen BSN di Lemal, Pasir Mas.
Awang Adek (dua dari kanan) melihat kemudahan kaunter ejen BSN di Lemal, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Penduduk di kawasan pedalaman Gua Musang bakal menikmati kemudahan perkhidmatan perbankan secara mobil bermula tahun hadapan.

Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, perkhidmatan itu akan dilaksanakan menerusi Cawangan Bank Bergerak (CBB) BSN bagi membantu masyarakat setempat memenuhi keperluan kewangan serta akses urusan perbankan.

Menurut beliau, pihaknya merancang kemudahan ke 11 tersebut selepas 10 CBB diwujudkan kepada penduduk pedalaman termasuk di kepulauan Borneo.

Awang Adek
Awang Adek

“Sejak dilancarkan, sebanyak sembilan CBB BSN beroperasi di Sabah dan Sarawak, manakala satu di Pahang.

“Satu lagi CBB ke-11 akan diwujudkan di pedalaman Gua Musang mengambil kira keperluan rakyat dan jarak kemudahan satu cawangan bank BSN sedia ada di bandar di daerah itu,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke ejen BSN Sinar Mentari Trading di Lemal di sini pada Ahad.

Awang Adek berkata, kewujudan CBB BSN di tengah era pandemik pada 10 Mei 2021 secara tidak langsung memberi kelegaan kepada penduduk setempat di beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman yang selama ini menagih khidmat perbankan secara menyeluruh tanpa perlu pergi jauh dari tempat tinggal.

Artikel Berkaitan:

Awang Adek (dua dari kanan) bersalaman dengan ejen BSN di Lemal, Wee Gi Chong semasa mengadakan lawatan kerja di Pasir Mas pada Ahad.
Awang Adek (dua dari kanan) bersalaman dengan ejen BSN di Lemal, Wee Gi Chong semasa mengadakan lawatan kerja di Pasir Mas pada Ahad.

CBB BSN menyediakan perkhidmatan seperti pengeluaran tunai melalui mesin teler automatik (ATM), pembukaan akaun kad debit/i BSN Visa, simpanan tunai, pembayaran bil-bil utiliti dan pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) BSN.

“BSN merancang untuk memperluaskan lagi CBB ke serata pelosok negara bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam menikmati akses perbankan yang menyeluruh.

“CBB ialah lori berkapasiti tiga tan yang diubah suai bagi menempatkan seunit ATM dan dua kaunter pelanggan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang bantuan termasuk sumbangan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas dan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata, BSN terus komited dalam memberi rangsangan kepada masyarakat setempat untuk celik perihal kewangan terutamanya dalam memupuk tabiat menyimpan termasuk bagi komuniti Orang Asli.

“BSN melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli turun padang ke pedalaman kampung Orang Asli di seluruh negara untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang penting mempunyai simpanan.

“Mereka boleh menggunakan mana-mana perkhidmatan di 300 cawangan BSN di seluruh negara atau lebih 2,000 ejen BSN yang sememangnya boleh dipercayai,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!