Kesesakan di hospital kerajaan dapat dielak jika ada kesedaran kesihatan - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) merasmikan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan di Batu 1, di sini hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) merasmikan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan di Batu 1, di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Masalah kesesakan di hospital-hospital kerajaan dapat dielakkan sekiranya masyarakat mempunyai kesedaran kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun mengambil pelbagai langkah untuk mengatasinya namun terbatas dengan peruntukan kewangan yang ada.

"Kalau sakit pun kita bertanggungjawab. Jangan rasa selesa, tengok di Hospital Kajang sampai di lobi disusun dengan katil.

"Saya terus hubungi Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri KKM), tapi dia pun ada batas peruntukan kewangan yang ada sekarang. Belanja dah tinggi dan pesakit kian ramai.

"Ada langkah-langkah diambil KKM untuk mengurangkan, tapi kalau kita ada kecelikan kesedaran, kita boleh mengelakkan. Kesesakan itu boleh dielakkan," katanya ketika berucap pada Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024, Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dan Kempen Perangi Gula di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri KKM, Datuk Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, penyakit kencing manis di negara ini merekodkan nombor satu di Asia Tenggara, sekali gus menggambarkan kecelikan kesihatan dalam kalangan rakyat di negara ini masih pada tahap rendah.

"Cakap soal artificial intelligence, pertumbuhan industri yang hebat, mutu pendidikan, hospital-hospital yang baik dan sekarang pesakit luar negara pun ramai yang ke hospital di sini, tapi kecelikan kesihatan rakyat Malaysia di tahap paling rendah.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tolonglah selamatkan negara kita dan anak-anak kita, keluarga dan ibu bapa kita dengan mengawal sedikit (pengambilan gula)," katanya.

Berkenaan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan dan Kempen Perangi Gula oleh KKM, Anwar berkata, ia hanya akan berkesan sekiranya semua individu turut sama menjayakannya.

"Di pejabat Perdana Menteri dan pejabat kerajaan sekarang, kita turunkan 50 peratus gula berbanding dulu.

"Sebabnya kita fikirkan keselamatan dan ini disebut kecelikan kesihatan atau lestrasi kesihatan," katanya.

Beliau turut berpendapat, perlu diadakan pemantauan di restoran atau gerai-gerai makanan bagi memastikan peniaga mengurangkan gula dalam sajian mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!