UiTM lahir akauntan bertauliah diiktiraf ACCA
KUALA LUMPUR - Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima pengiktirafan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) atas sumbangannya melahirkan akauntan bertauliah berdaya saing peringkat global.
Anugerah itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif ACCA, Helen Brand pada Majlis Gala Ulang Tahun Ke-88 ACCA Malaysia baru-baru ini.
Dekan Fakulti Perakaunan UiTM, Profesor Dr Haslinda Yusoff berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen universiti dalam menyediakan pendidikan berkualiti yang diakreditasi di dalam dan luar negara menerusi bimbingan tenaga pengajar unggul.
Menurutnya, pelajar UiTM terkenal dengan pencapaian luar biasa di peringkat antarabangsa antaranya merangkul anugerah ACCA Top Prize Winner.
"Faktor utama seperti kualiti akademik, pengiktirafan antarabangsa dan kecemerlangan tenaga pengajar memastikan graduan Fakulti Perakaunan UiTM mampu memenuhi piawaian profesional antarabangsa.
"UiTM bertekad untuk terus memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama pintar dengan ACCA dalam usaha meningkatkan kecemerlangan akademik dan profesionalisme akauntan di Malaysia," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan UiTM.
Untuk rekod, UiTM dan ACCA telah menjalin kerjasama sejak 1956, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan bilangan akauntan bertauliah di Malaysia.
UiTM memaklumkan, universiti itu telah menjadi platform utama dalam memperkasakan akauntan Bumiputera, selain memainkan peranan penting dalam pembangunan akauntan global masa hadapan.
"Pada tahun 2010, Fakulti Perakaunan UiTM mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai penyedia pembelajaran bertaraf Platinum oleh ACCA, menjadikannya universiti awam pertama di Malaysia menerima pengiktirafan ini.
"Kejayaan terbaharu ini memperkukuh peranan UiTM dalam menyokong agenda nasional untuk melahirkan lebih ramai akauntan bertauliah yang mampu bersaing di pentas antarabangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!