Laporan PPPM 2023: Akses pendidikan meningkat di semua peringkat

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek (dua dari kiri) ketika ke Sekolah Nanga Semah sempena Program Tindak Susul Parlimen (TSP) berhubung Akses Pendidikan Sekolah Luar Bandar dan Sekolah Daif di Sarawak pada Jumaat. Foto fail Bernama
Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek (dua dari kiri) ketika ke Sekolah Nanga Semah sempena Program Tindak Susul Parlimen (TSP) berhubung Akses Pendidikan Sekolah Luar Bandar dan Sekolah Daif di Sarawak pada Jumaat. Foto fail Bernama
A
A
A

MUKAH - Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Tahun 2023 yang dilancarkan pada Sabtu, menyaksikan peningkatan kepada akses pendidikan di semua peringkat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peningkatan itu boleh dilihat khususnya pada enrolmen prasekolah, menengah atas, serta pemilihan segmen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Kesenjangan daripada segi gender serta luar bandar dan bandar sudah merapat dan ini yang kita harapkan bahawa kesenjangan ini dapat segera kita atasi, agar anak-anak kita dapat menikmati kualiti pendidikan yang sama.

"Dalam masa yang sama kita tidak boleh nafikan ada juga kelemahan serta perkara yang perlu kita tambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan PPPM 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian di sini, pada Sabtu.

Laporan PPPM Tahun 2023 menunjukkan peningkatan akses pendidikan merentas semua peringkat termasuk aspek kualiti kompetensi guru bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kesedaran tentang kesejahteraan psikologi serta penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Jurang kesenjangan pencapaian akademik antara jantina dan status sosioekonomi juga semakin merapat, manakala penambahbaikan pendidikan khas berterusan berjaya meningkatkan kadar kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Pada majlis sama, Fadhlina turut menyempurnakan majlis perasmian SK Kampung Tellian yang merupakan projek gantian penuh sekolah daif dilengkapi 24 bilik darjah, blok pentadbiran dan kemudahan asas lain.

Fadhlina serta pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) berada di Sarawak sempena Program Tindak Susul Parlimen (TSP) di Sibu, Daro dan Mukah pada 6 dan 7 September.

Artikel Berkaitan:

TSP merupakan program turun padang bagi meninjau serta menilai secara langsung isu dihadapi di peringkat sekolah dan seterusnya mencadangkan penyelesaian pada pihak berkaitan.

Program yang turut disertai wakil rakyat tempatan itu telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya di Sibu, SK Nanga Semah, SK Kg Kut, Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro, SK Kg Pangtray, SMK Matu, SK Kg Pergau di Daro serta SK Kampong Tellian di Mukah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!