Vivianah-Nisrina hadiahkan emas buat Politeknik Malaysia
GANDINGAN kali pertama Siti Nur Vivianah Chia dan Nisrina Saffiah Mohd Razip bukan halangan buat mereka untuk membantu Politeknik Malaysia meraih pingat emas acara berpasangan wanita petanque pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT 2024) di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Siti Nur Vivianah dari Politeknik Kota Kinabalu dan Nisrina dari Politeknik Port Dickson, kedua-duanya mengakui hadir dengan sasaran mengenggam pingat emas di bumi Sintok.
Pasangan tersebut berjaya mengatasi Kolej Polytech MARA yang dibarisi Nur Eliyana Mohd Khudri dan Putri Nurafni Umairah Khairul Anuar bagi pingat perak manakala Nur Atikah Nabila Mokhtar bersama Seri Amisya Mohd Hashlindarinshah dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meraih pingat gangsa.
Menurut Siti Nur Vivianah, biarpun kali pertama digandingkan namun mereka telah mengenali corak permainan di antara satu sama lain sebelum ini.
"Emas memang sasaran kami. Kami berdua masing-masing menjaga posisi yang ditetapkan. Saya bertindak sebagai ‘pointer’ dan Nisrina pula ‘shooter’. Kami memiliki kelebihan masing-masing dan sebab itu dapat membina kefahaman antara satu sama lain dengan cepat.
"Kami mengikuti setiap arahan jurulatih dan konsisten serta disiplin dalam mengatur strategi melalui latihan yang kami lakukan di Kuala Kangsar sebelum hadir ke UUM," katanya semasa ditemui di Gelanggang Petanque UUM pada hari kedua kejohanan.
Sementara itu, jurulatih pasukan acara Petanque Politeknik Malaysia, Muhammad Reza Abdullah berkata, tiada tekanan yang diberikan kepada atlet Politeknik pada temasya ini namun keazaman yang tinggi untuk memberikan aksi terbaik telah membuahkan kejayaan kepada kontinjen tersebut.
"Saya sebenarnya tidak memberi tekanan buat mereka kerana saya tahu mereka punyai keazaman yang kuat dan hanya memberi tips akhir untuk mereka buat keputusan yang tepat. Selain itu bila beraksi, mereka sendiri akan menentukan apakah warna pingat yang mereka mahukan.
"Atlet telah beri komitmen yang sangat luar biasa walaupun mereka dari tempat yang berbeza, tapi bila latihan pusat, komitmen yang mereka tunjukkan begitu luar biasa,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Politeknik Malaysia juga meraih pingat perak melalui gandingan Ainol Shahramadhan Abu Bakar dan Muhammad Irfan Hakimi Ismail untuk acara berpasangan lelaki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!