Urus ekonomi kerajaan Madani yang terbaik - PM

Anwar (tiga dari kanan) dan Dzulkefly (dua dari kiri) melawat aktiviti yang disediakan Pelancaran Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 dan Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan serta Kempen Perangi Gula pada Ahad.
Anwar (tiga dari kanan) dan Dzulkefly (dua dari kiri) melawat aktiviti yang disediakan Pelancaran Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 dan Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan serta Kempen Perangi Gula pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan akan menguruskan ekonomi negara secara serius termasuk berusaha memastikan kadar inflasi kekal rendah bagi meringankan beban rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar inflasi negara ketika ini pada kadar dua peratus adalah antara yang terendah berbanding dengan beberapa negara lain yang lebih tinggi.

"Syukur Alhamdulillah, sejak kita uruskan ekonomi Madani ini, kita lihat pertumbuhan ekonomi naik tinggi 5.9 peratus, inflasi terkawal.

"Saya baharu balik dari luar negara bertemu Presiden Rusia, bila soal jawab ada orang tanya, inflasi (kita) dua peratus, ada beberapa bidang makanan tiga peratus, ada 3.5 peratus infra.. Itupun jenuh kita hendak kawal,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 dan Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan serta Kempen Perangi Gula di Pantai Batu 1, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Perdana Menteri berkata, meskipun inflasi negara berada pada rendah, namun kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada strategi untuk menangani kos sara hidup rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2025 Oktober depan.

"Di negara lain, terutama di rantau ini seperti Thailand, Singapura dan Indonesia, inflasi mereka lebih tinggi. Rusia lapan peratus, Turki, inflasi mereka 40 peratus, itu sebabnya kita kena urus ekonomi ini secara serius dan di antara yang kita bincangkan termasuk dalam soal kesihatan ini ialah jangan membazir, "katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan yang kerajaan tidak mencampuri soal siasatan oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana pihak.

Anwar turut menyangkal dakwaan yang beliau berdendam susulan tindakan pihak berkuasa membuat siasatan terhadap sesuatu kes.

"Ada orang kata Anwar berdendam, tak betul. Kita kena hentikan amalan pimpinan yang guna kuasa untuk cari kekayaan peribadi.

"Saya tak bertanggungjawab soal penyiasatan. Siapa salah dan ada kes, curi motor, duit atau rompak, itu kerja polis dan sama juga dengan kes-kes lain, kes yang besar.

"Saya tak suka duduk dalam penjara, saya juga tak suka orang lain duduk dalam penjara. Tiada siapa saya nak dengki, Alhamdulillah saya dah jadi Perdana Menteri, susah payah pun dah naik, terima kasih orang Port Dickson," katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Port Dickson.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!