Selangor peruntuk RM1.03 juta subsidi tambang bas SJKT

V Papparaidu (berdiri, tengah) menyampaikan bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah kepada pelajar di Pusat Konvensyen SJKT Sungai Renggam, Seksyen 18.
V Papparaidu (berdiri, tengah) menyampaikan bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah kepada pelajar di Pusat Konvensyen SJKT Sungai Renggam, Seksyen 18.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri mengagihkan subsidi tambang bas sekolah menerusi peruntukan sebanyak RM1.03 juta kepada 99 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh daerah di Selangor.

Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan dan Hal Ehwal Orang Asal serta Minoriti, V Papparaidu berkata, seramai 3,246 pelajar menerima manfaat RM300 setiap seorang menerusi subsidi tambang bas sekolah melalui dua fasa pengagihan.

Ujarnya, seramai 334 pelajar SJKT menerima baucar subsidi berkenaan dengan peruntukan RM100,200 bagi fasa pertama manakala seramai 3,092 pelajar (RM927,600) bagi fasa kedua.

“Peruntukan ini kebanyakannya diterima anak pekerja ladang daripada keluarga berpendapatan rendah yang biasanya bersekolah agak jauh daripada rumah mereka.

“Kita harap bantuan ini meringankan beban ibu bapa dan penjaga dalam membayar tambang bas sekolah anak sekali gus memelihara kebajikan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Papparaidu menyampaikan bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah kepada pelajar di Pusat Konvensyen SJKT Sungai Renggam, Seksyen 18 di sini pada Sabtu.

Papparaidu sehubungan itu berharap pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya menyalur bantuan itu dalam tempoh tiga hari kepada pelajar yang layak.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis sama, seramai lima tokoh guru turut menerima penghargaan dan masing-masing menerima sijil dan pemberian wang tunai disampaikan Exco Sumbar Manusia, Pembasmian Kemiskinan dan Hal Ehwal Orang Asal serta Minoriti itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!