Sanusi dakwa sistem bola sepak Malaysia gagal

Sanusi
Sanusi
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa sistem bola sepak di negara ini gagal selepas beberapa pasukan tidak mampu bersaing sehingga mereka berdepan dengan masalah kewangan.

Menurutnya, kelab-kelab bola sepak di negeri ini juga didakwa tidak mampu mengikuti pengurusan yang dibuat oleh satu pasukan.

“Sistem yang dilaksanakan sekarang ini gagal untuk membolehkan negeri-negeri membuat penampilan menguruskan pasukan cara terbaik. Orang lain tak boleh buat sebab dipaksa ikut satu negeri sahaja, itu pun bukan negeri tapi kelab.

“Kalau orang lain tak boleh main, macam mana nak lawan? Saya kata sistem tak betul, berhentilah ikut satu pasukan itu, cukup-cukuplah,” katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Festival Insan Sejahtera Negeri Kedah di Sungai Petani bagi mengulas desas-desus Kedah Darul Aman (KDA) FC berdepan masalah kewangan apabila didakwa gagal membayar gaji pemain sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah turut menafikan bahawa kerajaan negeri tidak membantu meringankan beban kewangan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Jelas beliau, sumbangan sebanyak RM2 juta telah disalurkan kepada kelab tersebut melalui KFA bagi membayar keperluan-keperluan untuk urusan lesen kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Jangan kata Menteri Besar buat tak tahu tapi untuk gaji dan kekalkan pasukan, syarikat kena usahakan. Jangan suruh saya pakai duit kerajaan, ada netizen kata macam-macam kepada saya sebab bola.

Artikel Berkaitan:

“Mereka pun tak faham yang MFL sudah tetapkan pasukan-pasukan ini diswastakan. Bukan lagi bawah persatuan dan bukan mewakili kerajaan negeri pun tapi kita sokong juga setakat yang boleh,” ujarnya.

Tambah Muhammad Sanusi, KDA FC perlu mengkaji kembali sistem pengurusan yang digunakan terutamanya bagi menguruskan pembayaran gaji pemain yang terlalu tinggi.

"Kita tetap sokong melalui tajaan anak syarikat negeri, masih ada tapi tak mampu tampung semua perbelanjaan. Saya pernah kata kita pergi main tempat lain sebab gaji pemain terlalu mahal, bukan sebab kita tak mampu.

"Dahulu masa zaman Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bayar gaji, kita boleh menang sampai Piala Malaysia, gaji baru RM6,000 ke RM7,000 masa itu.

"Mengapa sekarang gaji berpuluh ribu, tapi pasukan lingkup? Tentu ada salah sistem ini, kena kaji balik. Tengok balik kemampuan pasukan, saya rasa bukan KDA FC sahaja, negeri lain juga hadapi masalah kewangan juga. Saya malas sentuh negeri lain," ujarnya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!